BERITA
Tragedi Putra Heights: Kakak Ipar Hamil Terpaksa Dibedah Akibat Lompat Tebing Tinggi - “Lompatan Itu Sebabkan Rahimnya Terganggu”
Kejadian letupan paip gas di Putra Heights yang berlaku pagi Syawal kedua telah mengubah hidup keluarga Muhammad Amirul Azhar Mohd Yasin, 28, dan isterinya, Nur Izzati Alia Zainuddin, 28.
Ketika ditemu bual secara eksklusif dalam program Podcast Borak Bibir Merah anjuran SinarPlus, Muhammad Amirul Azhar yang juga kakitangan Kumpulan Karangkraf berkata, salah satu detik paling memilukan apabila kakak ipar Nur Izzati yang hamil lima bulan terpaksa menjalani pembedahan selepas melompat dari tembok tebing yang tinggi demi menyelamatkan diri.
Kejadian bermula dengan bunyi dentuman kuat yang disangka mereka gegaran gempa bumi atau pesawat terbang rendah.
Namun, bunyi itu rupanya letupan paip gas yang kemudian memusnahkan rumah mereka di Kampung Sungai Baru, menyebabkan api marak dengan pantas.
Dalam keadaan cemas, keluarga tersebut termasuk kakak ipar Nur Izzati terpaksa melarikan diri dengan cara melompat dari tembok setinggi hampir dua meter di kawasan berhampiran rumah mereka.
“Kami berada dalam keadaan panik dan tak ada pilihan, terpaksa lompat dari tebing untuk menyelamatkan diri, termasuklah kakak ipar saya,” kata Nur Izzati.
“Malangnya, lompatan itu menyebabkan rahimnya terganggu dan selepas diperiksa oleh doktor disahkan bahawa pembedahan terpaksa dilakukan untuk memastikan keselamatan ibu dan bayi dalam kandungan.
“Kandungannya baru lima bulan. Doktor kata kena buat pembedahan untuk pastikan semuanya selamat,” ujarnya yang turut meluahkan kesedihan melihat keadaan kakak iparnya itu.
Kecederaan yang dialami bukan sahaja hampir menghancurkan hidup keluarga ini, tetapi juga meninggalkan trauma mendalam.
Lebih memilukan, anak perempuan kakak iparnya yang baru berusia empat tahun kini enggan memijak lantai selepas trauma dengan panasnya api.
“Dia tak nak turun atau pijak lantai. Mungkin dia takut atau trauma dengan kepanasan yang dialami masa kejadian,” katanya.
Walaupun ujian ini berat, pasangan suami isteri tersebut tetap cuba mencari kekuatan.
Mereka tahu bahawa luka ini mungkin akan sembuh, tetapi parutnya akan kekal selamanya.
Dalam masa sama, mereka reda dan bersyukur kerana ALLAH sentiasa mengirimkan bantuan dalam bentuk kasih sayang dari insan-insan yang prihatin.
Bagi Nur Izzati, rumah itu bukan sekadar tempat tinggal. Ia adalah lambang daripada segala usaha keras dan pengorbanan. Dibina dengan titik peluh, berbekalkan wang pencen ayah dan segala keringat yang tercurah selama bertahun-tahun.
“Rumah itu bukan sahaja tempat tinggal, ia adalah impian mak dan ayah. Mereka bina rumah itu dengan susah payah. Tapi semuanya hilang sekelip mata.
“Sebagai anak memang sedih melihat situasi tersebut. Kami cuba untuk terima semua yang berlaku. Tapi kehilangan rumah ini, lebih-lebih lagi buat ibu bapa saya kerana itulah tempat yang mereka bina bertahun-tahun, membesarkan kami adik-beradik... ia terlalu perit.
“Tapi saya berpegang nasihat ibu yang mana beliau mahu kami reda dan tetap bersyukur kerana kami masih punya satu sama lain,” kongsi Nur Izzati.
Sekarang dengan segala cabaran yang mereka hadapi, pergerakan mereka sangat terhad. Nur Izzati dan suaminya terpaksa tinggal berasingan dengan keluarga yang lain.
“Saya dan suami terpaksa tinggal dengan keluarga mentua, sementara ibu bapa dan adik-beradik lain tinggal di rumah abang.
“Alhamdulillah banyak pihak bantu kami termasuklah keluarga, saudara-mara, jiran, malah rakan sekerja dari Karangkraf,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video