HIBURAN
Tolak Tawaran Berlakon, Eja Nak Fokus Keluarga & Perniagaan - “Saya Pun Sudah Berusia Kalau Boleh…”
Pelakon, Eja mengakui masih lagi menerima tawaran untuk berlakon drama atau filem meskipun sudah 10 tahun menamatkan perjalanannya dalam dunia seni.
Jelas Eja atau nama lengkapnya Siti Shahrizah Saifuddin,53, dia terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana komitmen keluarga dan juga kini sudah sibuk dengan dunia perniagaan.
“Sekali sekala perasaan rindu itu datang namun nak kata 100 peratus itu tidak. Saya masih menerima banyak tawaran untuk berlakon malah ada juga tawaran untuk digandingkan bersama Datuk Rosyam Nor.
“Saya juga pernah dapat tawaran untuk beberapa drama dan juga filem sebelum ini cuma watak-watak yang ditawarkan berat-berat, saya pun sudah berusia kalau boleh tak nak bawakan watak yang berat-berat jadi saya terpaksa tolak.
“Lagipun masa saya tidak mengizinkan sebab saya sibuk dengan anak-anak, perniagaan jadi tak boleh berada di lokasi pengambaran dalam tempoh yang lama, sebab kalau shooting ni dia ambil masa yang lama. Pada usia ini juga saya tak larat nak stay sampai dua tiga pagi,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Pelakon Filem Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-24 meluahkan rasa syukur kerana lakonannya memberi impak kepada penonton.
Malah Eja tidak menolak populariti yang diraih dahulu memudahkan dia mengembangkan perniagaan pada hari ini.
“Alhamdulillah, ada yang masih mengingati lakonan saya, walaupun saya tak adalah banyak drama dan filem tapi lakonan saya dapat memberi impak sehingga orang masih ingat saya sehingga ke hari ini.
“Apabila orang masih mengingati dan menghargai bakat kita, ia memudahkan saya apabila terbabit dalam dunia perniagaan kerana mereka masih lagi menyokong dan membeli produk saya jadi saya sangat berterima kasih dengan mereka,” ujarnya.
Pada 2017, Eja dilapor mendedahkan sudah 10 tahun bergelar isteri kepada tokoh korporat, Mohd Silahuddin Jamaluddin.
Sejak itu, Eja mengambil pendekatan memperlahankan karier seni selepas melahirkan anak tunggal, Nur Eishal.
Must-Watch Video