BERITA
Tiket Bas Aidilfitri Masih Banyak
Tiket perjalanan bagi perkhidmatan bas ekspres ke destinasi utama di seluruh negara untuk tempoh 10 hari terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri masih boleh didapati di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati, kebanyakan tiket perjalanan ke destinasi utama di seluruh negara khususnya ke selatan seperti Johor, masih banyak yang belum terjual.
Bagi laluan ke utara pula, tiket ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga masih banyak tersedia, namun beberapa destinasi utama seperti Kangar, Kuala Perlis, Penang Sentral, Butterworth, Sungai Nibong, Sungai Petani dan Alor Setar menunjukkan permintaan yang tinggi.
Sementara itu, bagi perjalanan ke Pantai Timur membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang, tiket bagi tarikh perjalanan 27, 28 dan 29 Mac hampir habis dijual, terutama bagi perjalanan pada waktu malam.
Bagaimanapun, permintaan tiket bas dijangka meningkat mulai minggu depan apabila lebih ramai perantau mula merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.
Pekerja kilang, Mohd Arif Kasman, 24, berkata, dia masih belum membeli tiket untuk pulang ke Seberang Perai bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana yakin harga tiket tidak akan berubah dalam tempoh tertentu.
“Saya biasanya beli tiket pertengahan bulan puasa sebab waktu itu harga masih sama. Tapi kalau lambat beli, memang susah nak dapat,” katanya ketika ditemui di TBS.
Pekerja swasta, Mohd Salim Amil, 29, pula berkata, tiket ke Terengganu masih boleh dibeli sekitar dua minggu sebelum hari raya, namun semakin sukar diperoleh apabila semakin hampir dengan tarikh perayaan.
“Kalau beli dua minggu awal, masih ada lagi. Biasanya harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kelantan dalam RM50 hingga RM80 lebih,” katanya.
Menurutnya, pembelian tiket secara dalam talian memberi lebih kelebihan kerana penumpang boleh menyemak harga lebih awal dan membuat perbandingan sebelum membuat keputusan.
“Kadang-kadang kalau beli secara dalam talian boleh dapat harga lebih murah. Kalau takut kehabisan tiket, lebih baik tempah awal,” katanya.
Sementara itu, pihak pengurusan TBS menjangkakan peningkatan jumlah penumpang dalam tempoh seminggu sebelum perayaan dan menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan tiket pada saat akhir.
Bagi mereka yang masih belum mendapatkan tiket, mereka disarankan supaya menyemak jadual perjalanan bas dan membuat tempahan segera bagi memastikan kelancaran perjalanan pulang ke kampung masing-masing.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video