Sukan
#ThrowbackGempak2019 : Ini Senarai 10 Berita Sukan Paling Menarik Tahun Ini
Tahun 2019 bakal melabuhkan tirai beberapa hari sahaja lagi, sudah tentu ia meninggalkan pelbagai memori kepada kita semua.
Dalam bidang sukan, tahun ini juga telah menyaksikan pelbagai kenangan pahit dan manis .
Di sini, Gempak senaraikan 10 berita sukan paling menarik dalam tahun 2019 yang semestinya akan diingati oleh pencinta sukan tanah air.
1. Lee Chong Wei Umum Bersara
Selepas berkecimpung selama 19 tahun sebagai jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sah mengumumkan persaraannya dalam arena sukan pada 13 Jun lalu.
Menurut Chong Wei, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada doktor akibat masalah kanser hidung yang dihadapinya.
2. Meskipun Dalam Kesakitan, Abdul Latif Romly Berjaya Raih Pingat Perak
Semangat atlet paralimpik, Abdul Latif Romly dalam meraih pingat perak dalam acara lompat jauh T20 di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai pada 13 November lalu harus diberi pujian.
Latif telah mengalami kecederaan pergelangan kaki kanan ketika beraksi dalam percubaan sebelum ke final, namun perkara itu tidak memadamkan hasratnya menggapai kemenangan
di peringkat akhir. Syabas!
3. Safawi Ledak Dua Gol Menewaskan Indonesia
Penyokong pasukan Harimau Malaya semestinya tidak akan melupakan dua gol dijaringkan pemain sayap kebangsaan, Safawi
Rasid yang menumpaskan Indonesia dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 19 November lalu.
Safawi berjaya membolosi pada minit ke-29 seterusnya pada minit ke-72 dalam perlawanan tersebut.
4. Azizulhasni Awang Rangkul Pingat Emas Di New Zeland
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sekali lagi memecah rekod apabila merangkul pingat emas acara keirin pada siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia UCI di Velodrom Avantidrome, Cambridge, New Zeland pada 7 Disember lalu.
Pelumba yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman itu mencatatkan masa 9.853 saat dan berjaya mengalahkan pelumba dari Rusia dan Australia yang masing-masing merangkul perak dan gangsa dalam kejohanan itu.
5. Remaja 15 Tahun Digelar Usain Bolt Malaysia!
Larian seorang pelajar bernama Muhammad Azeem, 15, ketika menyertai acara larian 100 meter di Kejohanan Sukan Sekolah Malaysia 2019 pada April lalu menjadi bualan ramai.
Rata-rata netizen menyifatkan larian Azeem seperti 'The Flash'. Bukan itu sahaja, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq pernah menggelarkan remaja itu sebagai Usain Bolt Malaysia!
6. Dua Pemain Badminton Negara Raih Kemenangan Di Sukan SEA 2019
Lee Zii Jia dan S. Kisona berjaya meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita di Sukan SEA 2019 baru-baru ini.
Zii Jia mengalahkan pemain Singapura Loh Kean Yew dengan kemenangan 21-18 dan 21-18, manakala Kasona menundukkan pemain Indonesia menerusi kemenangan 20-22, 21-14 dan 21-13.
7. Pemain Senior Skuad Tenis Tarik Diri Sebelum Sukan SEA 2019
Ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon bersikap positif dan yakin dengan kebolehan pemain muda selepas tonggak perseorangan, Ahmad Deedat Abdul Razak menarik diri sebelum berlangsungnya Sukan SEA 2019.
Terdahulu, Malaysia hanya menghantar dua pemain remaja lelaki dan dua pemain remaja perempuan dalam Kejohanan Jemputan Pra-Sukan SEA 2019 yang berlangsung di Singapura pada Mei lalu.
8. Phee Jinq En Raih Pingat Emas Di Sukan SEA 2019
Perenang negara, Phee Jinq En berjaya meraih pingat emas pertama skuad renang negara dalam Sukan SEA 2019 pada 6 Disember lalu.
Jinq En berjaya dalam acara 50 meter kuak dada wanita di Pusat Akuatik New Clark City.
9. Andre Anura Pecah Rekod Lompat Jauh Kebangsaan
Atlet kelahiran Sabah, Andre Anura memecah rekod lompat jauh kebangsaan dengan lompatan 8.02 meter di Sukan SEA 2019. Pencapaian itu telah memadamkan rekod lompat jauh tempatan selama 12 tahun yang dipegang oleh Josbert Tinus yang sebelum ini mencatat lompatan 7.88 meter.
10. Perenang Berbakat Sarawak Ditemui Mati
Dalam mengenang kejayaan atlet dan berita sukan lain, kita juga tidak seharusnya lupa pada yang telah pergi meninggalkan.
Perenang remaja Sarawak, Aryton Lim, 19, ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu oleh ibunya sebelum disahkan meninggal dunia pada 24 Oktober lalu.
Difahamkan, kes itu telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Aryton pernah mewakili Sarawak dalam kejohanan renang Sukan Malaysia yang lalu dan telah menjalani latihan di Singapura tidak lama sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Demikianlah 10 berita sukan paling menarik pilihan Gempak, semoga lembaran 2020 membuka lebih peluang kepada semua atlet tanah air untuk melakar kecemerlangan demi mengharumkan nama Malaysia!
Must-Watch Video