HIBURAN
"Tekak Terganggu, Cari Makanan Halal Payah" - Amsyar Lee
Penyanyi lagu Belai, Amsyar Leee, berkongsi pengalaman getir sewaktu menjalani rakaman pertandingan nyanyian Sing! Asia di China baru-baru ini.
Cuaca yang terlalu sejuk bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah turut menjejaskan kondisi suara.
“Berada di China memang memberikan cabaran besar buat saya. Sepanjang di sana tekak tak selesa dan sangat memberikan kesan kepada suara.
“Mahu mencari makanan halal pun agak mencabar. Saya perlu berjaga-jaga dan pastikan makan benda yang betul supaya badan kekal sihat sepanjang tempoh di sana,” katanya, yang turut menjalani rakaman di beberapa lokasi rahsia lain.
Selain itu, Amsyar turut teruja dapat bekerjasama dengan produksi antarabangsa yang banyak membantu memperkemas mutu persembahan terutamanya dari segi teknik vokal.
Produksi yang profesional dan teliti memberikan pendedahan baharu yang sangat berharga buat dirinya sebagai anak seni.
“Saya harap sangat dapat melangkah ke final dan buat yang terbaik serta membanggakan negara. Saya mahu buka mata ramai orang bahawa suara ini merupakan suara anak Malaysia yang ada kekuatan jiwa yang boleh menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya.
“Walaupun saya terima kecaman hebat dari segelintir rakyat Malaysia yang kurang selesa dengan cara saya membawakan lagu, saya percaya setiap suara ada tempatnya. Perjalanan saya masih jauh, tapi selagi ada sokongan, doa dan keberanian untuk terus berdiri, saya akan terus melangkah,” jelasnya.
Must-Watch Video