Hiburan
Teater Gemilang Sebuah Muzikal Buka Peluang Bekas Pelajar ASWARA
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan menganjurkan sebuah teater muzikal berjudul Gemilang Sebuah Muzikal hasil kerjasama barisan alumninya.
Menurut pengarah teater, Along Eyzandi, teater ini diadakan bersempena meraikan ulang tahun ASWARA yang ke-25 pada tahun ini.
“Saya dan presiden Persatuan Alumni ASWARA (Beringin), Zul Huzaimy berbincang untuk menyatukan kembali bekas-bekas pelajar ASWARA dari semua fakulti menerusi sebuah pementasan teater muzikal.
“Pemilihan muzikal ini kami rasakan bertepatan kerana ia mengambil kira pelbagai latar belakang semua bekas pelajar yang terlibat,” kata Along kepada Gempak.
Along ditemui ketika majlis sidang media pelancaran teater Gemilang Sebuah Muzikal yang diadakan di lobi ASWARA pada Khamis.
Menurut Along ini, teater ini berkisahkan kehidupan pelajar-pelajar di ASWARA dan kehidupan mereka selepas keluar daripada institut ini.
“Ketika proses menulis skrip, saya dan Khairunazwan bersama-sama memikirkan pengalaman kami dan teman-teman yang serba mencabar di luar.
“Gemilang itu adalah cebisan daripada kisah kami sendiri, yang kami tempuh selepas keluar daripada ASWARA,” katanya lagi.
Teater ini bakal mengetengahkan Taqim Zaki dan Dewi Seriesta selaku teraju utama dan turut dibantu oleh Zul Huzaimy, Najua P. Ramlee, Hairi Safwan dan ramai lagi.
Diarahkan oleh Along Eyzendi dan Khairunazwan Rodzy selaku pengarah bersama, naskah ini akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Disember 2019.
Must-Watch Video