FILEM
Teaser Filem Papa Zola The Movie Berjaya Raih Dua Juta Tontonan Kurang Dari 24 Jam - “Buat Pertama Kali Papa Zola Jadi Teraju Utama”
Penerbit animasi terkenal, Monsta sekali lagi mencatat kejayaan yang luar biasa apabila teaser filem Papa Zola The Movie meriah lebih dua juta tontonan di seluruh platform digital dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas pelancaran tersebut.
Menurut Pengarah Papa Zola The Movie, Nizam Abd Razak, kejayaan luar biasa ini memberi petanda positif terhadap sambutan filem animasi yang bakal menjadi antara acara sinematik paling dinantikan pada tahun ini.
“Ini merupakan penampilan ketiga Papa Zola di layar perak selepas BoBoiBoy The Movie (2016) dan BoBoiBoy Movie 2 (2019), tetapi buat pertama kali beliau menjadi teraju utama,” katanya.
Filem Papa Zola The Movie ini akan menceritakan kisah asal-usul Papa Zola dan menampilkan gabungan elemen aksi, drama kekeluargaan dan serangan makhluk asing menjadikannya sebuah karya hiburan yang sesuai dinikmati oleh seluruh keluarga.
Pada masa sama, watak Papa Zola yang mula diperkenalkan dalam siri BoBoiBoyjuga menjadi ikon rakyat Malaysia dan Indonesia menerusi gaya jenaka unik serta tagline popularnya “Kebenaran!”.
Tidak hanya terkenal di kaca TV, karakter ini turut mencipta fenomena di media sosial menerusi meme, video sketsa lucu dan nasihat kekeluargaan yang sering tular.
“Papa Zola telah menjadi watak yang dekat di hati masyarakat Malaysia dan Indonesia dari pelbagai latar belakang,” jelasnya.
Bagaimanapun, konten yang melibatkan Papa Zola telah mencatat lebih tiga billion tontonan di pelbagai platform media sosial.
Filem Papa Zola The Movie dijangka bakal menggegarkan pawagam bermula Disember 2025.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan aksi Papa Zola bersama keluarga dan rakan-rakan di layar perak pada musim cuti akhir tahun ini.
BERITA BERKAITAN: Cukup Luar Biasa! Mikro Siri Papa Pipi Terpaling Puasa Berjaya Curi Perhatian Sepanjang Ramadan
BERITA BERKAITAN: Saluran Youtube MONSTA Digodam Syarikat Crypto – “Pasukan Kami Sedang Giat Meneruskan Siasatan”
BERITA BERKAITAN: Mechamato Bakal Ditayangkan Di Jepun 19 Januari Ini!
BERITA BERKAITAN: BoBoiBoy Raih 3.5 Juta Tontonan Dalam 24 Jam!
Must-Watch Video