Tak Peduli Kemalangan, Penduduk Berebut Tilam Di Lebuh Raya
Orang ramai dilihat berpusu-pusu mengutip lebih 100 tilam daripada lori yang kemalangan di Kilometer 91.800 Lebuh Raya Tol Cipularang, pada petang Jumaat lalu.
Memetik laporan media Indonesia, rakaman yang dimuat naik di platform Instagram @infojawabarat itu memaparkan lima individu memasuki kawasan kemalangan tersebut lalu mengangkat tilam daripada lori rosak di tengah jalan.
“Kelihatan beberapa individu tidak bertanggungjawab bertindak mengambil tilam yang bertaburan di jalan,” kata pemilik akaun tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, sebuah lori Fuso dengan nombor pendaftaran BG 8640 IC dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah kereta Toyota Innova.
Kenderaan tersebut kemudian melanggar sebuah lagi lori yang membawa muatan tilam.
Dalam pada itu, menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok @story_malika, dipercayai pemilik pemandu lori terlibat mendakwa lebih 100 tilam hilang rentetan peristiwa tersebut.
“Tragedi kemalangan di Tol Cipularang KM 91, hanya 95 tilam yang tinggal, manakala lebih 100 dilaporkan hilang,” menurut keterangan dalam video tersebut.
Sementara itu, Ketua Unit Laka Lantas Polis Purwakarta, Inspektor Istiyaningrum Kemala Sari turut mengesahkan kejadian tersebut.
“Jumlah kerugian masih dalam siasatan kerana pemandu lori yang terlibat masih menjalani rawatan di hospital,” katanya selepas dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, pihak polis telah memberi amaran keras kepada penduduk agar tidak mengambil barang milik mangsa kemalangan.
Sumber: Sinar Harian