HIBURAN
Tak Lagi Bersama Syarikat Rakaman, Zaki Yamani Kini Aktif Tulis Lagu Sendiri - “Usaha Mereka Tak Memuaskan Saya”
Anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, iaitu Zaki Yamani mendedahkan kini dia tidak lagi bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman selepas memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama syarikat terdahulu.
Menurut Zaki, atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 19, keputusan itu dibuat disebabkan pihak syarikat itu tidak dapat memenuhi kehendaknya sebagai seorang anak seni.
“Buat masa sekarang, saya sudah tidak berada di bawah mana-mana syarikat rakaman. Sebab utama saya tidak mahu menyambung kontrak adalah kerana mereka tidak dapat memberikan apa yang saya perlukan.
“Selepas saya tamat menyertai sebuah program realiti nyanyian di stesen televisyen, saya nampak mereka cuba untuk ketengahkan saya.
“Namun, usaha itu tidak mencukupi dan tidak memuaskan hati saya,” katanya kepada Gempak.
Walaupun kini dia bergerak secara sendiri tetapi Zaki memberitahu bahawa segala urusan kerja yang melibatkan karier seninya masih dibantu oleh ibunya.
Namun, dia tetap meluahkan rasa syukur kerana selepas tamat kontraknya bersama syarikat rakaman, dia berpeluang untuk mengasah bakat dalam penulisan lagu.
“Ibu saya yang menjaga saya dan susun jadual saya. Jadi, bila bergerak sendiri ni memang agak susah. Tapi Alhamdulillah, ketika saya masih bersama agensi rakaman, saya belum pandai buat lagu atau tulis lagu.
“Namun selepas kontrak saya tamat, saya berjaya menulis beberapa buah lagu untuk diri saya sendiri. Itu satu petunjuk yang baik buat saya,” jelasnya.
Pada masa sama, Zaki juga mengakui dia dapat merasakan bakatnya dalam penulisan lagu merupakan satu petanda yang baik buat dirinya untuk memulakan kerjayanya yang baharu.
Bagaimanapun, Zaki turut mengakui dimana dia perlu belajar untuk menulis lagu dengan orang yang lebih berpengalaman darinya agar dia mampu menghasilkan lagu untuk selebriti yang lain.
“Mungkin itu adalah petunjuk terbaik untuk saya walaupun saya tidak cukup modal untuk buat muzik video dan sebagainya, tapi saya ada bakat tulis lagu dan itu sudah cukup memuaskan saya.
“Perancangan itu masih ada. Saya cuba nak buat lagu untuk orang tapi sebelum tu saya kena belajar dulu dengan orang yang lebih berpengalaman,” kongsinya.
Must-Watch Video