Hiburan
Tahniah! Dengan Sekali Lafaz, Sufie Rashid Selamat Bergelar Suami
Dengan sekali lafaz, penyanyi dan juara Akademi Fantasia 2015, Sufie Rashid, 28, selamat bergelar suami kepada Nurulain sebentar tadi.
Sufie atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid dinikahkan oleh bapa kepada pengantin perempuan dan dikendalikan oleh juru nikah dan pendaftar nikah Putrajaya, iaitu Ustaz Haji Hasli Othman.
Difahamkan majlis pernikahan yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat itu dijalankan secara sederhana atas pemintaan keluarga pasangan berkenaan.
Menurut Sufie, dia merasakan cukup bertuah apabila mengenali isterinya untuk menjadi peneman hidup.
"Saya bersyukur kerana saya dijodohkan dengan Ain. Ain merupakan isteri yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Dia tidak pernah menghalang untuk saya terus berkarya dalam industri seni".
Tambahnya lagi, dia memohon agar peminat mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke jannah.
Majlis yang bermula pada jam 9.30 pagi tadi bertempat di Pulse Grande Hotel Putrajaya itu menyaksikan dulang hantaran sembilan berbalas tujuh serta cek hantaran perkahwinan berjumlah RM20,000.00 serta mas kawin sebanyak SGD300.00 dan juga sebentuk cincin.
Terdahulu, Sufie telah mengikat tali pertunangan dengan pengasas produk makanan Krispy Krunchee, Nurulain Md Yusof pada 15 December 2018.
Sufie dan Ain berkenalan pada penghujung 2016 sebelum mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang mereka.
Majlis resepsi akan berlangsung pada esok, 22 September 2019 di Glam Hall, Mustapha Kamal, Damansara Perdana.
Majlis pernikahan serta persandingan telah di sediakan oleh perancang majlis Dwikarya Wedding and Event.
Must-Watch Video