HIBURAN
Syasya Rizal Gembira Lihat Kejayaan DOLLA - "Saya Tahu Betapa Banyaknya…"
Penyanyi, Syasya Rizal meluahkan rasa gembira dan bangga terhadap kejayaan kemunculan semula kumpulan itu menerusi lagu terbaharu mereka yang berjudul Mwa.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram Story, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal dilihat menjawab pertanyaan peminatnya mengenai kemunculan semula Dolla baru baru ini.
“Apa reaksi Syasya mengenai kemunculan semula Dolla?” komen dari netizen.
Membalas persoalan yang ditanyakan itu, bekas ahli kumpulan Dolla itu menyatakan dia tetap bangga dengan pencapaian kumpulannya dan dia akan terus menyokong kumpulan itu.
"Alhamdulillah, saya betul-betul gembira untuk mereka. Mereka sememangnya layak menerima segala kasih sayang dan pengiktirafan hasil daripada kemunculan semula ini.
“Perasaan bangga itu sebenarnya masih tidak cukup untuk menggambarkan perasaan saya.
“Saya akan sentiasa menyokong kejayaan mereka kerana saya tahu betapa banyaknya usaha dan jiwa yang mereka curahkan dalam setiap perkara yang mereka lakukan,” tulisnya di Instagram Story.
Walaupun mereka sudah membawa haluan yang berbeza namun, Syasya tetap menyimpan rasa kasih sayangnya terhadap kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, dia mendoakan agar kejayaan yang dikecapi oleh Dolla hari ini hanyalah permulaan kepada pencapaian yang lebih besar pada masa akan datang.
"Walaupun jalan kami kini berbeza, hati, kasih sayang dan sokongan saya akan sentiasa bersama 'sisters' saya.
"Saya berharap ini hanyalah permulaan kepada perkara-perkara yang lebih hebat untuk mereka, kerana pada saya, mereka benar-benar berbakat dan merupakan wanita-wanita yang luar biasa,” kongsinya.
Must-Watch Video