Laman Utama
Sokong Palestin, Daiyan Trisha Tak Kisah Hubungan Dengan Jenama Antarabangsa Terjejas - "Rezeki Ada Di Mana-Mana"
Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha antara selebriti yang berani memuat naik perkongsian mempertahankan negara Palestine yang kini sedang bergolak.
Biarpun menyedari perkongsian itu akan menjejaskan hubungan kerja dengan jenama antarabangsa, namun Daiyan percaya segala rezeki hanya datang daripada Allah.
“Mungkin posting ini akan memberi kesan terhadap hubungan kerja saya dengan jenama-jenama antarabangsa tetapi apabila tiba masanya untuk saya berdiri teguh atas prinsip saya, saya tidak boleh berdiam diri untuk masa yang lama.
“Rezeki ada dimana-mana, dan Allah telah memberi saya kejayaan dan kebahagiaan yang tidak pernah saya bayangkan selama ini Alhamdulillah,” kata Daiyan.
Pada perkongsian yang sama, Daiyan turut menegaskan dia tetap akan terus bersuara mengenai isu semasa itu demi membantu umat Islam di Gaza yang sedang bertarung nyawa.
“Dan oleh itu di saat-saat gentir ini saya tak akan pernah boleh berdiam diri dan membelakangkan agama saya, kepercayaan saya dan paling utama, saudara-mara saya di Gaza yang sedang bertarung nyawa, dibunuh, diperlaku dengan sangat kejam dan dirampas segala hak kemanusiaan mereka.
“Mereka didiamkan sementara dunia disuap propaganda zionist yang sudah terang lagi bersuluh sebuah penipuan yang tidak masuk akal.
“Selama ini saya kerap bersuara, dan saya tidak akan berhenti di sini hanya kerana saya mulai diiktiraf di persada yang berbeza - malah saya akan bersuara dengan lebih lantang.
“Dunia kita sudah makin hampir di saat-saat akhir. jika ada masa yang tepat untuk kita bersuara dan melawan, ia adalah sekarang. I STAND WITH PALESTINE,” kongsi Daiyan lagi.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Langit ini juga sudah menyalurkan sebanyak RM20,000 menerusi Persatuan Cinta G AZ A Malaysia dan memohon seluruh rakyat Malaysia turut memberi bantuan.
Must-Watch Video