HIBURAN
Snoop Dogg Nak Buka Gerai Burger Depan Stadium
Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Snoop Dogg mengumumkan hasrat unik untuk membuka gerai burger di luar Stadium Celtic Park, markas pasukan bola sepak gergasi Scotland, Celtic FC.
Bintang berusia 53 tahun itu sebelum ini pernah menyuarakan minat untuk memiliki saham kelab Celtic, namun kali ini memilih pendekatan lebih santai, menjamu para penyokong dengan sajian istimewa hasil air tangannya sendiri.
"Saya mahu bawa gerai burger pop-up ke stadium sukan, dan saya rasa tempat terbaik tentulah Celtic Park, bro.
"Peminat Celtic memang istimewa, dan saya yakin mereka akan serbu gerai saya,” katanya kepada Sunday Mail.
Snoop, yang pernah menerbitkan buku masakan berjudul From Crook to Cook, berkata dia mahu buktikan makanan stadium juga boleh 'meletup' jika disediakan dengan penuh kasih sayang dan bahan berkualiti.
"Rahsia burger sedap ialah cara penyediaannya. Daging perlu dicampur rempah rahsia, ditambah keju berkualiti dan daging salai berperisa maple. Penyokong Celtic pasti sukakannya, dan saya sendiri akan turun padang sediakan burger tu," katanya penuh yakin.
Pelantun lagu Drop It Like It's Hot itu turut menolak idea untuk berniaga di luar stadium seteru utama Celtic, Rangers.
"Burgers kat Rangers? Tak payah lah, kita skip je yang tu," katanya berseloroh.
Snoop Dogg, yang juga pernah menjadi koresponden NBC semasa Olimpik Paris tahun lalu, terkenal dengan minat mendalam terhadap sukan dan pernah menubuhkan dua liga bola sepak belia selain aktif menyokong kesamarataan bayaran dalam sukan wanita.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video