HIBURAN
Siti Nurhaliza Tak Merajuk Terpalit Kontroversi - “Saya Tahu Bila Mana Saya Perlu Berbakti Pada Negara”
Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak merajuk meskipun timbulnya dakwaan beliau membuat persembahan secara berbayar dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa lalu.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, dia juga tetap akan membuat persembahan di acara rasmi yang dianjurkan kerajaan sebagai tanda penghargaan.
“Tak adalah (merajuk), perkara ini perkara biasa.
“Saya tetap Siti Nurhaliza, dah matang dah.
“Saya tahu bila mana saya perlu berbakti kepada negara dan (buat persembahan) untuk hargai orang,” katanya kepada Gempak.
Terdahulu, perkongsian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memuat naik foto Siti serta Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah yang dijemput dalam majlis berkenaan bagi menghiburkan tetamu telah menyorot perhatian ramai.
Siti kemudiannya menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya dibayar untuk membuat persembahan pada majlis rasmi tersebut.
Perjelas Siti, kehadirannya ke majlis tersebut adalah sebagi tetamu dan bukanlah sebagai artis yang diundang untuk membuat persembahan.
“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.
“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” jelas Siti.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata lagi, penjelasan tersebut dibuat bagi memastikan tiada pihak menyebarkan fitnah yang mengaitkan dirinya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly turut mengesahkan bahawa kedua-dua artis tersebut hadir sebagai tetamu dan membuat persembahan tanpa bayaran menerusi aplikasi X.
Menurutnya, ia bagi menghormati peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pekerja kesihatan KKM dan tetamu lain yang merupakan sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan negara.
Must-Watch Video