Laman Utama
Siti Nurhaliza Mahu Bawa Aafiyah, Afwa Melawat Sekolah Miliknya Di Gaza
Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza, melahirkan hasratnya untuk melawat sekolah yang dibangunkan menerusi Yayasan Nurjiwa yang terletak di Gaza, Palestin bersama keluarga termasuk dua anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.
Kata Siti, dia mahu anak-anaknya melihat sendiri sekolah yang dibangunkan dengan nama Afwa Al-Afiyah, sekaligus menyaksikan bagaimana kanak-kanak di Gaza menimba ilmu dalam kepayahan.
Namun kata penghibur berusia 44 tahun tersebut, hasratnya datang ke Gaza belum kesampaian meski sekolah sudah didirikan sejak 5 Oktober 2021 itu lantaran masalah pergolakan dan peperangan.
“Saya teringin sangat ke Gaza dan melihat kanak-kanak yang bersekolah di Afwa Al-fiyah kerana sejak dibangunkan pada tahun 2021, kami tidak pernah berpeluang ke sana.
“Ini kerana masalah keselamatan seperti pergolakan dan peperangan di sana menyukarkan hasrat terlaksana. Buat masa ini, segala urusan dijalankan oleh wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza.
“Tapi jika ada kesempatan pada masa akan datang, saya mahu membawa Aafiyah dan Afwa sekali melawat sekolah dan melihat bagaimana kanak-kanak di Gaza tetap mahu menimba ilmu dalam serba kepayahan,” ujar Siti saat ditemui pada majlis pengumuman Konsert Satu Suara Siti Nurhaliza Vol.3 bersama Jay Jay dan Ernie Zakri.
Meski hasrat tersebut belum terlaksana, isteri Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa itu tetap bersyukur kerana sejak dibangunkan, sekolah tersebut terus menerima suntikan dana demi menaik taraf insfratruktur bagi memberi kemudahan dan keselesaan sekitar 50 pelajar.
“Walaupun tidak pernah sampai ke sana, pihak saya sentiasa memastikan semua dana yang sepatutnya disalurkan untuk sekolah tersebut sampai dengan baik. Ini penting kerana saya mahu sekolah tersebut dilengkapi dengan insftatruktur yang baik supaya mereka boleh belajar dengan baik dan selesa,” katanya lagi.
Must-Watch Video