HIBURAN
Simu Liu Dedah Marvel Kini Lebih Rahsia Gara-Gara Tom Holland & Mark Ruffalo
Pelakon, Simu Liu mengakui tidak mempunyai maklumat yang lengkap siapa lagi yang bakal membintangi filem terbaharu Marvel iaitu Avengers: Doomsday.
Jelas Simu, Marvel pada masa kini sangat berhati-hati dalam berkongsi maklumat agar perkara itu tidak ‘terbocor’ seperti yang pernah dilakukan oleh Tom Holland dan Mark Ruffalo ketika mempromosikan filem.
“Saya tahu saya akan terlibat dalam filem itu dalam satu kapasiti, tapi saya langsung tak tahu siapa lagi yang mereka akan umumkan.
“Mereka tak beritahu kami apa-apa. Tom Holland dan Mark Ruffalo dah rosakkan semuanya. Sekarang, mereka tak beritahu sesiapa pun.” katanya.
Pemeran watak Shang-Chi itu berkata demikian ketika muncul di rancangan bual bicara, The Jennifer Hudson Show.
Pada masa sama, Simu turut meluahkan rasa teruja apabila mengetahui barisan pelakon legenda seperti Sir Ian McKellen dan Sir Patrick Stewart juga akan muncul dalam filem berkenaan.
“Saya tengok bila Sir Ian dan Sir Patrick diumumkan… dua pelakon terhebat yang pernah berjalan di muka bumi ini. Ia betul-betul buat saya terkejut.” katanya lagi.
Pengumuman barisan pelakon bulan lalu ternyata memberi kejutan besar kepada peminat apabila ramai pelakon veteran X-Men diumumkan turut serta termasuk Kelsey Grammer (Beast), Patrick Stewart (Professor X), Ian McKellen (Magneto), Alan Cumming (Nightcrawler), Rebecca Romijn (Mystique) dan James Marsden (Cyclops).
Selain Simu dan pelakon asli X-Men, antara bintang lain yang juga akan memeriahkan filem adiwira itu adalah Paul Rudd (Ant-Man), Sebastian Stan (Winter Soldier), Letitia Wright (Shuri), Anthony Mackie (Captain America) dan Robert Downey Jr. (Dr. Doom).
Walaupun banyak nama telah diumumkan dan tarikh tayangan rasmi ditetapkan pada 1 Mei 2026, plot sebenar Avengers: Doomsday masih menjadi misteri.
Must-Watch Video