Laman Utama
Shuib Tinggalkan Konti Hot FM, Tumpukan Perhatian Kepada Perniagaan
Pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib, bakal menamatkan perkhidmatannya di stesen radio berkenaan pada hujung bulan ini.
Shuib mengumumkan perkara itu menerusi segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk dan Fizie ketika program tersebut ke udara pagi tadi.
Selepas dua tahun mengendalikan segmen Geng Pagi Hot, Shuib memberitahu Jumaat ini merupakan hari terakhirnya di konti meskipun kontraknya tamat pada 31 Januari.
Pengumuman drastik Shuiib turut mengejutkan Shuk dan Fizie yang pada mulanya menyangkakan ia hanya gurauan.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad ketika dihubungi Gempak berkata, meskipun berat hati untuk membuat keputusan tersebut, tetapi perniagaannya perlu diberikan tumpuan.
"Hati saya berat tetapi saya perlu fokus dan pandang ke hadapan untuk memberi perhatian kepada empayar perniagaan Bubble Bee.
"Saya sudah lama merancangkan perkara ini dan hari ini baru saya ada kekuatan untuk mengumumkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerjanya Shuib dan Fizie yang sentiasa memberikan kerjasama dan saling membantu.
“Dah rasa macam macam keluarga. Dua tahun bersama setiap pagi dari jam enam hingga 10 saya bersama Shuk dan Fizie.
"Banyak momen kami kongsi. Suka dan duka, pahit dan manis kami harungi bersama dan pastinya saya akan merindui saat itu.
“Terima kasih kepada Hot FM kerana telah membuka peluang kepada saya dan berkongsi kenangan serta pengalaman bersama,” katanya.
Sementara itu penerbit Geng Pagi Hot FM, Affendy Jailani pihaknya masih belum dapat mengumumkan pengganti Shuib buat masa ini.
Must-Watch Video