Setelah tujuh tahun menyepi dari pentas Malaysia, kumpulan legenda dari Indonesia, Sheila On 7 (SO7) akhirnya kembali mengubat rindu peminat tempatan menerusi penampilan istimewa di Latihan Pestapora Malaysia 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam Sabtu lalu.
Penganjuran festival muezik mega anjuran Hitman Solutions bersama Boss Creator itu bermula seawal 1.30 petang, menampilkan barisan artis hebat dari Malaysia dan Indonesia antaranya Salam Muzik, Pamungkas, Kunto Aji, Dolla, Bittersweet, Barasuara x Efek Rumah Kaca, .Feast, Bunkface dan Hindia.
Namun, kemunculan SO7 yang dinanti-nantikan benar-benar menggegarkan SNBJ apabila peminat sudah mula bersorak sejak 9.45 malam, membuktikan keterujaan menunggu idola mereka muncul di pentas utama.
Malah, sejak 1.30 petang sudah ada yang menempah tempat di hadapan pentas, tidak berganjak demi memastikan mereka tidak terlepas peluang melihat idola kesayangan dari dekat.
Sekitar 10 malam, laungan penonton terbalas apabila SO7 muncul membuka persembahan dengan lagu ‘Betapa’, sekali gus menghangatkan suasana dan membuat sekitar 25,000 penonton bersorak.
Selama 90 minit persembahan, SO7 mempersembahkan lagu-lagu ikonik termasuk Sephia, Seberapa Pantas, Berhenti Berharap, Dan, Melompat Lebih Tinggi dan banyak lagi.
Lebih istimewa, ketika mendendangkan Sephia, vokalis Duta atau nama sebenarnya Akhdiyat Duta Modjo, 45, sempat turun ke kawasan penonton untuk berswafoto dan menyapa peminat sekaligus mencetuskan jeritan histeria dalam kalangan penonton.
Dalam ucapan ringkasnya, Duta turut meluahkan rasa terharu dapat kembali ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir membuat persembahan di sini pada tahun 2018.
“Latihan Pestapora malam minggu ini cukup bermakna buat kami. Sudah lama benar Sheila On 7 tak jejak pentas di Malaysia. Kali terakhir kami tampil di sini pada 2018.
“Alhamdulillah, akhirnya kami kembali ke Kuala Lumpur untuk bertemu teman-teman tersayang. Malaysia sentiasa beri memori terindah buat kami.
“Terima kasih kerana percaya, malam ini anda semua pasti terhibur,” katanya ketika di atas pentas.
Sementara itu, menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, kejayaan acara ini adalah bukti bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival antarabangsa berskala besar.
“Merealisasikan Latihan Pestapora di Malaysia adalah satu pencapaian besar. Ia bukan sahaja kejayaan produksi, tetapi juga simbol kejayaan budaya.
"Kami membawa satu IP (harta intelek) festival antarabangsa ke Malaysia dan berjaya membuka ruang untuk penonton tempatan dan luar negara menikmati pengalaman ini di tanah air sendiri," katanya.
Tambahnya, meskipun pelbagai cabaran timbul, terutamanya menyelaras keperluan lebih 25 artis tempatan dan antarabangsa, semuanya dapat diatasi hasil kerjasama erat seluruh pasukan dan rakan strategik.
Manakala, Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora & Pengasas Bersama Boss Creator pula menyifatkan festival ini sebagai satu pergerakan budaya yang penting.
“Kami melihat sendiri bagaimana peminat dari Malaysia terbang ke Jakarta saban tahun untuk menyertai Pestapora. Kini tiba masanya kami bawa ‘latihan’ ke sini agar rakyat Malaysia juga dapat merasai magisnya. Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah pengalaman membina komuniti dan semangat serantau," ujarnya.

Sebelum kemunculan SO7, penonton turut dihiburkan dengan persembahan penuh tenaga Bunkface yang membawakan lagu seperti Malam Ini Kita Punya, Panik dan Situasi.
Persembahan diteruskan dengan Hindia yang mendendangkan lagu-lagu popular seperti Rumah Ke Rumah, Cincin, Evaluasi, Kita Ke Sana dan Kids.
Sebagai penutup acara, suasana SNBJ terus bergema dengan kemunculan Feel Koplo yang membawakan seleksi remix lagu antarabangsa seperti We Found Love dan Stecu Stecu.
Lebih istimewa,Kemunculan khas penyanyi Ari Lesmana menyampaikan lagu viral Mangu turut menjadi antara detik paling menyentuh malam itu.