“Sharnaaz Banyak Pujuk Saya” - Shukri Yahaya Kembali Ke Layar Perak Selepas 5 Tahun Berehat
Selepas lima tahun menyepi dalam industri perfileman, pelakon Shukri Yahaya kembali ke layar perak menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof.
Menurut Shukri, ini adalah peluang terbaik untuknya kembali ke dunia perfileman setelah sekian lama sibuk dengan dunia drama.
“Saya rasa dah lima tahun tak berlakon filem, jadi ini masa yang sesuai untuk saya buat comeback. Tambah pula, ini karya Syafiq Yusof, seorang pengarah yang saya anggap antara yang terbaik sekarang.
“Dalam filem ini pun ada barisan pelakon yang saya kenal baik seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan ramai lagi. Jadi, saya ambil peluang ini untuk buktikan kepada kawan-kawan yang selalu ‘kutuk’ saya suruh berhenti buat drama,” katanya kepada Gempak.
Shukri Yahaya berkata demikian ketika ditemui di majlis ‘meet and greet’ bersama pelakon Blood Brothers yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Selain itu, pelakon berusia 36 tahun itu turut mengakui Sharnaaz Ahmad adalah antara individu yang memainkan peranan besar dalam keputusannya untuk kembali ke dunia filem.
“Sharnaaz banyak pujuk saya untuk berlakon dalam filem ini. Jadi, saya susun jadual sebaik mungkin untuk memastikan saya dapat terlibat,” jelasnya.
Mahu keluar dari dunia drama
Pada masa sama, Shukri turut mengakui dia mahu keluar dari zon selesa iaitu berlakon dalam genre percintaan dalam drama.
BERITA BERKAITAN: "Jangan Sampai Aku Potong Rambut Kau" - Shukri Yahaya Terima Ugutan Gara-Gara Watak Eshaal dalam Curang Tanpa Niat
BERITA BERKAITAN: Gaya Rambut Eshaal Dibenci Netizen, Shukri Yahaya Ubah Untuk Kelainan - “Saya Dah Terlalu Banyak…”
Tambahnya lagi, aktor tersebut mahu mencuba sesuatu yang berbeza daripada watak-watak yang sering dilakonan oleh dia dalam drama.
“Saya ambil peluang ini sebab nak buat sesuatu yang lain. Orang selalu nampak saya dengan drama yang ada elemen cinta dan konflik keluarga, tapi dalam Blood Brothers: Bara Naga, fokusnya lebih kepada ‘brotherhood’ dan persahabatan.
“Kalau ada elemen sedih pun, semuanya sebab kawan, bukan pasal cinta dua darjat atau keluarga kaya-miskin,” kongsinya.
Sementara itu, aktor yang terkenal dengan watak Eshaal itu turut berkongsi sepanjang tempoh lima tahun dia berehat dari dunia perfileman, Shukri telah menolak lebih sepuluh karya yang ditawarkan kepada dirinya.
“Banyak juga lebih dari 10 tawaran filem datang ke saya. Kalau ikutkan filem yang kawan saya ambil itupun ada juga tapi saya taknak sebut siapa.
“Saya kongsi rezeki dengan mereka, alhamdulillah mereka dapat buat dengan baik,” kongsinya.
Selain Shukri dan Sharnaaz, Blood Brothers yang bakal ditayangkan bermula 10 April depan itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Amelia Henderson, Zamarul Hisam, Wan Hanafi Su, Andy Teh dan ramai lagi.