HIBURAN
Sharifah Shahirah Syukur Adik Temui Bahagia, Terima Baik Kehadiran Keluarga Baru - “Bagi Saya Dia Seorang Yang…”
Penyampai radio, Sharifah Shahirah meluahkan rasa gembira melihat kebahagiaan adiknya, Sharifah Sakinah yang kini telah sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Cyril Congo.
Kongsi Shahirah, sebagai seorang Kakak, dia menyambut baik kehadiran ahli keluarga baharu dan menganggap perkahwinan adiknya itu sebagai satu perkara yang wajar diraikan dengan penuh rasa syukur.
“Alhamdulillah, keluarga kami sudah makin bertambah. Dia kacukan Vietnam dan Perancis.
“Bagi saya dia seorang yang baik dan kami menerima seadanya. Begitu juga dengan dia. Bagi saya itu yang paling diperlukan,” katanya.
Shahirah berkata demikian ketika ditemui sejurus Sidang Media The Chosen One x Jutawan Ekspres di Astro Bukit Jalil, pada Selasa.
Dalam masa sama, Shahirah turut sedar setiap perkongsian di media sosial pastinya mengundang pelbagai reaksi dan pandangan daripada masyarakat.
Namun, dia tidak mengambil hati terhadap sebarang komen negatif kerana menganggap itu adalah asam garam dunia hiburan.
“Biarlah mereka kecapi bahagia dan kalaulah ada yang masih mahu menghakimi itu perkara biasa.
“Sebab kadang-kadang, bila kita kongsikan sesuatu di media sosial, walau hanya seminit orang sudah nilai macam-macam.
“Tapi mereka tidak tahu cerita secara keseluruhan. Tidak mengapalah… sudah jadi lumrah dunia,” jelasnya.
Berkongsi mengenai hubungan keluarganya dengan Cyril, Shahirah memaklumkan mereka sebenarnya sudah kerap bertemu, cuma tidak dikongsikan kepada umum.
“Saya sudah selalu jumpa mereka, nak kongsi atau tidak saja di media sosial. Alhamdulillah, dia pun selalu bertemu dan beri penghormatan dengan mak untuk dapatkan restu.
“Malah Sakinah pun sudah bertemu dengan orang (keluarga) belah sana. Adik ipar pun mempunyai anak hasil perkahwinan yang terdahulu, kalau tidak silap saya sembilan orang.
“Sakinah pun cuba untuk menjadi ibu tiri yang baik, Insya-Allah. Macam saya sendiri pun ada anak tiri (perkahwinan sebelum ini).
“Jadi kita hanya jadi insan yang terbaik, tak perlu nak berebut apa-apa,” katanya.
Sekadar info, Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha pada tahun 2015 dan bercerai pada 2020.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Anais Adha, yang kini berusia 8 tahun.
Selepas itu, Sakinah kembali bertemu jodoh dengan lelaki warga Sweden, Michael Hansen pada 2021, namun hubungan itu juga berakhir dengan perceraian.
Must-Watch Video