HIBURAN
Sertai Gegar Vaganza? Jeslina Hashim Kata Tidak - “Macam Mana Saya Nak…”
Penyanyi dan pelakon popular, Che Puan Jeslina Hashim mengakui tidak akan menerima tawaran untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) atas faktor kesihatan.
Menurut Jeslina, komitmen fizikal dan mental yang diperlukan untuk bertanding setiap minggu bukan sesuatu yang mampu ditangani olehnya pada ketika ini.
“Saya rasa saya tidak pernah ditawarkan sebelum ini, kalau mereka panggil pun saya rasa tak boleh sebab macam nak nyanyi setiap minggu.
“Kena nyanyi macam-macam genre saya rasa saya tak boleh, takut minggu pertama saya dah kena kick out,” katanya berseloroh.
Meskipun tidak merancang untuk menyertai mana-mana pertandingan, pelantun lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia ini mengakui dia masih menyimpan rindu untuk kembali ke dunia nyanyian.
Malah suaminya, Tunku Eddy Nasruan Adi turut memberikan sokongan penuh jika dia ingin kembali aktif dalam industri seni.
“Dekat sosial media pun ada peminat yang kata rindu nak dengar saya menyanyi, tapi saya pun rindu nak kembali menyanyi sebenarnya.
“Suami saya pun sebenarnya tidak kisah jika saya nak kembali menyanyi atau berlakon. Apa-apa yang saya nak buat pun dia tidak kisah sebab dia memang akan sokong cuma saya rasa dia akan lebih suka jika saya kembali menyanyi,” ujarnya.
Sekadar info, Jeslina Hashim telah selamat mendirikan rumah tangga bersama Tunku Eddy pada 10 Ogos 2024 dalam sebuah majlis tertutup.
Jeslina pernah mendirikan rumah tangga dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005 namun bercerai pada Mac 2013.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Micah, 15, dan Keira, 13.
Must-Watch Video