Sering Ditanya Soal Jodoh, Aizat Saha Serah Pada Takdir - “Mungkin Allah Nak Saya…”
Pelakon dan pempengaruh, Aizat Saha mengakui sering menerima soalan tentang jodoh setiap kali pulang beraya ke kampung halaman.
Aizat atau nama lengkapnya Mohd Aizat Saharudin bersyukur kerana keluarganya tidak memaksa dan sentiasa memahami karier seninya.
"Saya selalu dapat soalan bila nak bawa balik menantu daripada pakcik dan makcik, tapi keluarga saya faham apa yang saya sedang lakukan sekarang. Lagipun, mereka tahu saya baru memasuki dunia industri seni.
"Tapi mereka juga ada pesan, kalau saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, saya boleh bawa pilihan hati saya untuk berjumpa dengan mereka," katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, pelakon drama Kelas Tahanan Cikgu Hiragi itu mengakui adakala dia sedikit terkilan kerana sering diajukan soalan mengenai jodoh kepadanya.
Bagaimanapun, Aizat tetap memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah SWT kerana percaya bahawa ajal, jodoh, dan maut adalah di luar kawalan manusia.
"Jauh di sudut hati, ada juga terasa bila sering diajukan soalan sebegitu, tapi saya tak mahu terlalu memikirkannya sebab takut akan kecewa sendiri.
"Ajal, jodoh, maut semuanya di tangan Tuhan, jadi sebagai manusia, kita hanya boleh berdoa yang baik-baik sahaja," kongsinya.
Hubungan bersama ibu sangat rapat
Aizat yang dikenali sebagai ‘Boyfriend Online’ turut mendedahkan kemungkinan ibunya masih sukar untuk melepaskannya kerana mereka sangat rapat.
Dia juga percaya mungkin takdirnya kini adalah untuk memberikan keutamaan kepada keluarga sebelum bertemu jodoh yang ditakdirkan.
"Mak saya pun mungkin susah nak lepaskan saya lagi sebab kami terlalu rapat. Mungkin itu salah satu sebab jodoh saya sedikit lambat.
"Siapa tahu, mungkin Allah SWT nak saya berkorban untuk keluarga dahulu dan insya-Allah jodoh saya akan tiba pada waktu yang tepat," ujarnya lagi.