HIBURAN
"Saya Suka Tengok Industri Kreatif Korea Selatan Berkembang" - Jasmine Suraya Rayu Kerajaan Sedia Dana Khas
Pelakon Jasmine Suraya menyeru agar kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyediakan dana khas yang khusus untuk pembangunan bakat dalam industri kreatif tempatan.
Jasmine, yang baru sahaja menamatkan pengajian peringkat sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), berpendapat bahawa kerajaan selama ini lebih menumpukan perhatian kepada pemberian dana untuk penghasilan filem semata-mata.
“Dulu saya pernah dikecam apabila kenyataan saya yang disalah erti sesetengah pihak kerana kononnya saya beriya-iya nak duit kerajaan untuk membiayai pengajian saya di AS.
Sebenarnya saya sudah mempunyai perbelanjaan yang mencukupi untuk ke sana, cuma saya sedar yang industri kreatif tidak mempunyai dana pembangunan bakat terutama membabitkan anak seni dan pekerja belakang tabir," katanya kepada Gempak.
Tambahnya lagi, sokongan terhadap aspek pembangunan bakat harus diberi perhatian sewajarnya, bukan hanya kepada pelakon semata-mata.
“Kalau kita lihat kerajaan dan Finas banyak membelanjakan jutaan ringgit untuk penerbitan filem, tapi di mana aspek membangunkan bakat tempatan itu sendiri?
Saya tidak hanya mewakili suara pelakon saja, tapi dana pembangunan bakat ini perlu diperuntukkan kepada pengarah, penulis skrip, pengarah fotografi, serta individu belakang tabir bagi memantapkan skil mereka,” tambahnya.
Jasmine turut berharap agar cadangannya itu mendapat maklum balas positif daripada pihak kerajaan dan Finas.
“Jadi siapa saja yang nak membangunkan diri atau nak menambah ilmu ada peluang cerah untuk mereka. Saya melihat sekiranya kerajaan atau Finas mahu industri kreatif terus berkembang, perlu ada sejumlah peruntukkan untuk pembangunan bakat.
Sebagai permulaan mungkin boleh mengkaji siapa individu atau bakat tempatan yang layak diberikan dana ini dan beri mereka peluang untuk belajar dan menggilap skil mereka," kata Jasmine lagi
Jasmine turut menjadikan Korea Selatan sebagai contoh negara yang memberi sokongan menyeluruh terhadap industri kreatif mereka.
“Saya suka melihat bagaimana industri kreatif di Korea Selatan yang berkembang dengan sangat laju hari ini. Mereka tidak hanya fokus kepada satu aspek saja, tapi jika nak berjaya perlu dilihat secara menyeluruh.
Bagi saya, sokongan yang ingin diberikan perlu diberi secara 100 peratus. Kita tak boleh menyumbang sekadar 10 peratus atau 20 peratus saja. Hari ini Korea Selatan boleh dikatakan lebih gah dari Hollywood,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jasmine memaklumkan bahawa dirinya kini bersedia untuk kembali aktif dalam industri hiburan tanah air dengan menerima tawaran baharu yang lebih mencabar.
Must-Watch Video