Pemain Manchester United, Amad Diallo menyatakan dia tidak menyesal dengan insiden menunjukkan isyarat lucah kepada peminat di Kuala Lumpur sambil mendakwa bahawa peminat terbabit telah menghina ibunya.
Selepas kekalahan 0-1 United dalam perlawanan persahabatan menentang Asean All-Stars pada Rabu, rakaman video tular di media sosial menunjukkan Amad mengangkat jari tengah kepada peminat di luar hotel pasukan.
“Saya hormat orang lain tetapi bukan kepada mereka yang menghina ibu saya.
“Saya sepatutnya tidak bertindak balas begitu, tetapi saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan. Kami menikmati masa yang baik di Malaysia bersama orang-orang yang baik," tulis pemain berusia 22 tahun itu di media sosial.
Kelab itu memberitahu BBC bahawa isyarat itu adalah tindak balas terhadap penghinaan peribadi yang serius diterima pemain dari Ivory Coast itu.
Dalam pada itu, pengendali United, Ruben Amorim berkata dalam sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan menentang Hong Kong, dia mahu melupakan episod lalu selepas musim yang suram menyaksikan United menamatkan saingan di tangga ke-15 dan tewas di final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur.
“Kami melalui musim yang sukar dan bukan mudah untuk berdepan dengan peminat di seluruh dunia, jadi ini adalah masa yang sukar buat kami dan kami ingin menamatkan musim ini.
“Namun pada masa yang sama kami mahu memberikan sesuatu kepada peminat. Kami sedang mengembara, tiada masa untuk menyesuaikan diri, dan tidak banyak peluang untuk berinteraksi dengan peminat.
“Jika ada satu perkara yang penting di kelab ini, ia adalah keperluan untuk berdepan dengan peminat dalam saat seperti ini dan memberikan sesuatu kepada mereka di seluruh dunia.
Kami mahu berikan yang terbaik buat peminat, tetapi ini adalah masa yang sukar. Kami hanya mahu mulakan lembaran baharu dan perbaiki prestasi musim depan," katanya.
Dengan hujan lebat melanda Stadium Hong Kong yang berkapasiti 40,000 pada malam sebelum perlawanan, Amorim dijangka sekali lagi akan melakukan perubahan barisan pemainnya.
“Jika kami profesional dan fokus kepada permainan, itu cara terbaik untuk melindungi pemain daripada kecederaan,” kata jurulatih berusia 40 tahun itu.
Sumber: Sinar Harian