Hiburan
“Saya Diuji Dengan Denggi Tapi...” - Asyraf Dasley Berjaya Jadi Top 3 dalam Face of Asia 2020
Setelah menyingkirkan peserta tuan rumah di peringkat separuh akhir, wakil Malaysia, Asyraf Dasley, 29, terus mengharumkan nama negara apabila meraih kedudukan tiga terbaik dalam pertandingan Face of Asia 2020 (FOA 2020).
Diadakan secara maya, pencapaian Asyraf itu melayakkannya mara ke pentas akhir FOA 2020 yang bakal berlangsung di Korea Selatan pada tahun depan.
Pernah membintangi beberapa buah drama Melayu tempatan, Asyraf akur untuk mengutamakan pengajiannya di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Technology Design-Entrepreneurship sebelum kembali bergiat aktif bergelar pelakon.
“Sepanjang tempoh separuh akhir yang bermula pada pertengahan November lalu, saya diuji apabila menghidap demam denggi dan terlantar selama tiga hari.
“Keadaan itu membuatkan saya bimbang kerana tugasan diberi pihak penganjur masih tidak disempurnakan, malah ada yang belum dimulakan.
“Namun sebaik sembuh, saya gandakan usaha menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum tiba tarikh akhir. Alhamdulillah ia berbaloi dengan kejayaan ini,” cerita anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.
Berita gembira itu diumum menerusi platform media sosial FOA 2020 oleh pihak penganjur pada 4 Disember lalu dan Asyraf akui tidak sabar untuk mewakili negara ke Korea Selatan kelak.
“Walaupun tidak sabar, saya juga berharap ada pihak yang sudi menaja dalam bentuk wang tunai untuk memudahkan saya membuat persiapan ke Korea Selatan nanti,” kata Asyraf.
Pelakon, model dan naib juara pertandingan pencarian bakat Mister Planet Nation Malaysia 2016 (MPM 2016) itu amat berterima kasih kepada barisan penaja yang membantunya hingga ke mencapai tahap ini.
Must-Watch Video