Filem
"Saya Bukanlah Mahu Menghakimi Setiap Antara Kita .." - Ada Apa Dengan Dosa, Ayu Puteh Pertaruhkan Filem Islamik Kepada Penonton
Setelah tampil dengan pelbagai genre sebelum ini seperti filem musikal romantik (Aku Ada Kau Ada), Aksi (Tokan), Seram (Gamatisme) dan komedi (Bo-Peng), Pencil Pictures And Records kini tampil dengan sebuah lagi naskah terbaru bertemakan drama Islamic menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa.
Filem genre drama Islamik, Ada Apa Dengan Dosa yang dijadualkan ditayangkan pada 24 September 2020 akhirnya bakal menemui penonton pada 4 Jun 2020 di saluran Astro First.
Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Dato' Ayu Puteh berkata, perubahan tarikh dan platform tayangan filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) adalah susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan yang memberi kesan kepada banyak pihak pada masa ini.
Apatah lagi, beliau akui ada beberapa penerbit filem terpaksa menarik diri kerana situasi yang melanda negara ketika ini.
"PKPB masih bersambung dan situasi jangkitan virus Covid-19 masih tidak stabil. Saya melihat keadaan ekonomi dalam kalangan penggiat industri filem tempatan akan mengambil masa untuk pulih, malah ramai pekerja filem yang sudah tiada pekerjaan.
"Pihak kami juga perlu mengambil kira SOP (Prosedur Operasi Standard) keselamatan dan kedudukan kewangan masyarakat. Menunggu keadaan ekonomi kembali pulih seperti sebelum ini dalam jangka masa pendek bukanlah perkara mudah.
"Oleh yang demikian, saya sebagai penerbit filem terpaksa memutuskan apa yang terbaik untuk filem ini walau pun ia keputusan yang tidak mudah," katanya.
Dalam pada itu, Ayu Puteh menyifatkan filem Ada Apa Dengan Dosa ini wajib ditonton umum kerana banyak mesej yang ingin disampaikan.
Tambahan pula, pada masa ini terdapat segelintir masyarakat mulai alpa dengan duniawi, ghairah dengan keseronokan dan keindahan dunia yang sementara sehingga terlupa dosa dan pahala dan melihat tanggungjawab sebagai bebanan.
"Saya bukanlah mahu menghakimi dosa pahala setiap antara kita tetapi kerana rasa tanggungjawab sesama islam dan generasi kita yang akan datang. Insha-Allah," katanya.
Filem Ada Apa Dengan Dosa arahan Rahila Ali dibarisi pelakon popular dan hebat tanah air antaranya Ashraf Muslim, Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Fauziah Nawi dan Adam Corrie.
Filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Scotland dan Malaysia ini mengisahkan Aurora yang kembali mencari sinar Islam dan keluarga kandung selepas ditinggalkan di rumah anak yatim sejak lahir. Aurora, 19 tahun dibesarkan oleh keluarga angkatnya sejak kecil di Eropah.
Pertemuannya dengan Khaliq memberi sinar untuk Aurora mengenali Islam dengan lebih dekat. Tanpa sengaja Aurora terdengar ibu bapa angkatnya mendedahkan kisah sebenar sehingga menyebabkan Aurora nyaris meragut nyawanya sendiri. Akhirnya Aurora nekad mencari ibu bapa kandungnya dengan bantuan Khaliq.
Berjayakah Aurora berjumpa dengan ibu bapa kandungannya di Malaysia dan menempuh segala rintangan yang dilalui?
Filem Ada Apa Dengan Dosa ini akan dibawakan secara terus ke pawagam di rumah anda menerusi Astro First, saluran 480 mulai 04 Jun 2020 (Khamis).
Must-Watch Video