HIBURAN
“Saya Bukan Kejar Duit Tapi…” - Dharma Harun Syukur Diberi Peluang Kembali Berlakon
Pelakon veteran, Dharma Harun meluahkan rasa gembira apabila diberi peluang untuk kembali bekerja dalam industri seni.
Mengakui wang adalah keperluan, namun Dharma atau nama sebenarnya Dharma Harun Al Rashid, 68, menganggap peluang untuk bekerja semula jauh lebih berharga daripada segala-galanya.
“Alhamdulillah. Duit siapa tak nak. Tapi saya sebenarnya bukan nak duit. Terus terang, bukan. Benda-benda tu nombor dua. Nombor satu kerja.
“Bagi saya kerja. Banyak kali dah saya cerita kan, bagi saya kerja. Give a job. Kan? Then, duit boleh datang. Saya tak boleh kalau orang datang bantu.
“Tapi rezekilah orang nak sedekah kan,” katanya kepada Gempak.
Dharma berkata demikian ketika ditemui di tayangan filem Felai FX bersama Dharma Harun yang berlangsung di Finas, Petaling Jaya, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya, komplikasi kesihatan dialaminya sebelum ini yang disebabkan depresi beransur pulih apabila ramai rakan-rakan industri hadir menziarahi di kediamannya yang terletak di Wangsa Maju.
"Ramai juga kawan-kawan artis lama yang datang lawat saya seperti Datuk Dj Dave, Noorkumalasari dan Haiza.
"Apabila mereka datang, kami berkongsi banyak kisah-kisah lama dan saling berukar cerita. Saya rasa macam ‘hidup’ balik serta terus jadi lebih ceria.
"Selepas mereka pulang, saya kembali kesepian di rumah ditambah pula anak-anak pula pergi belajar. Cuma kalau kerja, mungkin situasi berbeza,” katanya lagi.
Sementara itu, penerbit filem Felai X, Richard Ung turut mengambil inisiatif untuk membantu Dharma dengan menawarkan watak sebagai seorang mafia dalam filem aksi berkenaan.
Kata Richard, bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban Dharma yang kini berdepan dengan tunggakan sewa rumah dan kos sara hidup selama tiga bulan, sehingga anaknya menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Saya membuat keputusan untuk mengadakan tayangan khas filem ini terlebih dahulu, khusus bagi membantu Dharma dan dua orang anaknya.
“Semoga selepas ini anak-anaknya tidak lagi menerima kecaman daripada netizen hanya kerana belum bekerja,” jelasnya.
Selain Dharma, filem arahan Zamri Zakaria turut dibintangi anak lelaki Dharma iaitu Muhammad Al Syafiq.
Must-Watch Video