Hiburan
“Satu Hari Tu Saya Bangun, Rasa Bersalah Nak Post Gambar Free Hair…” - Sudah Lama Pasang Niat, Shasha Abedul Rasa Tenang Berhijab
Tampil dengan imej baharu, pelakon Shasha Abedul mengakui dirinya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengenakan berhijab.
Timbul rasa bersalah
Berkongsi detik penghijrahannya, Shasha berkata dia tidak mempunyai sebarang insiden tertentu namun hatinya tiba-tiba timbul rasa bersalah ketika mahu memuat naik foto yang merakamkan dirinya tidak bertudung.
“Sebenarnya saya memang sudah lama memasang niat untuk berhijab sejak beberapa bulan lalu.
“Perasaan itu datang sendiri, tiada insiden apa-apa cuma pada satu hari saya bangun, nak muat naik foto di Instagram tetapi tiba-tiba ada satu perasaan timbul.
“Gambar itu adalah gambar tidak bertudung (sebelum berhijrah), ada sahaja hari yang saya memuat naik foto tetapi saya ada rasa perasaan bersalah.
“Malah pada ketika itu semasa nak keluar rumah pun timbul perasaan ‘kenapa’ (rasa bersalah).
“Mungkin itulah yang orang kata hidayah dah sampai, mungkin? Insya-Allah,” ujarnya.
Shasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media drama bersiri Astro Originals berjudul Project: Exit bertempat di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur pada Selasa.
Hadir majlis ilmu
Dalam pada itu, Shasha juga mengakui dia turut menghadiri beberapa majlis ilmu sebelum mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya.
“Saya pula sejenis kalau nak buat sesuatu jangan hanya sekadar buat, sebaliknya harus memahami apa tindakan yang kita lakukan.
“Jadi saya pegi kelas untuk belajar dan lebih memahami mengapa kena tutup aurat, untuk siapa dan sebagainya.
“Sebab saya tidak mahu buat benda ini hanya kerana untuk memuaskan hati orang dan saya akhirnya faham apa yang saya buat sekarang ini, saya hanya ikut perintah yang Tertinggi.
“Bila saya dah buat keputusan untuk berhijab, saya tidak mahu tunggu lama dan lakukannya sebab kita tidak tahu bila lagi perasaan seperti itu akan datang kembali,” jelasnya yang sudah tiga minggu berhijab.
Seperti dilahirkan semula
Mengulas mengenai perasaan selepas bertudung, Shasha akui dirinya seolah-olah bagai dilahirkan semula.
“Selepas bertudung saya rasa bagai dilahirkan semula (rebirth), saya rasa seperti orang yang baharu, perasaan yang saya tak boleh nak ungkap, tak boleh nak cakap tetapi saya rasa menakjubkan dan saya suka, alhamdulillah,” katanya.
Terdahulu, pada penghujung September lalu, Shasha telah memadamkan hampir kesemua foto tidak berhijab di akaun Instagram miliknya.
ARTIKEL BERKAITAN:Aisyah Aziz Mengaku Panas Bila Pakai Tudung - “Kadang-Kadang Saya Marah…”
ARTIKEL BERKAITAN:Angeline Tan Dedah Sabri Yunus Tak Pernah Paksa Berhijab - “Tapi Saya Rasa Sebagai Seorang Islam, Ini Lebih Sopan”
ARTIKEL BERKAITAN:Raja Azura Sudah Berhijab - “Saya Lakukan Dengan Ikhlas…”
ARTIKEL BERKAITAN:Nora Danish Nafi Dakwaan Bekas Suami Halang Berhijab - “Dia Tak Kisah Apa Yang Saya Inginkan, Puji Cantik”
ARTIKEL BERKAITAN:Neera Azizi Kini Bertudung, Dapat Hidayah Dalam Mimpi - “Tiga Malam Berturut Saya…”
Malah pelakon berbakat ini juga kemudiannya memuat naik foto merakamkan dirinya tampil dengan imej baharu iaitu berhijab beserta dengan kaspyen:
“September, perjalanan baharu, permulaan baharu. Bismillahirrahmanirrahim.
“Doakan saya semoga kekal istiqomah, sentiasa dan selalu. InsyaAllah, dengan izinNya,” coretnya.
Untuk info, Shasha telah mengerjakan ibadah Umrah bersama ibu saudaranya pada Mac 2023 selepas mula menyimpan niat sejak tahun sebelumnya.
Must-Watch Video