Laman Utama
Ruffedge Suntik Nafas Baharu Dalam Lagu Popular Da Bomb
Kumpulan pop R&B popular Ruffedge tampil dengan lagu Da Bomb dalam versi terbaharu hasil kolaborasi bersama jenama SugarBomb.
Menurut salah seorang anggota Ruffedge Sein Qudsi, mereka melihat kolaborasi ini sebagai satu percubaan yang bagus kerana lagu Da Bomb itu sendiri masih diminati sehingga ke hari ini.
“Muzik Ruffedge itu sendiri tidak berubah cuma lagu Da Bomb versi terbaharu ini kami ubah sikit mengikut peredaran masa sekarang.
“Kami masih nak mengekalkan feel Da Bomb tu tanpa berubah banyak sangat. Kalau tukar lebih-lebih nanti dah tak jadi Da Bomb tu. Kalau anda dengar versi yang lama dan yang baru macam sama je, that’s the point yang kami nak capai,” ujar Sein kepada Gempak.
Ruffedge ditemui dalam sidang media pelancaran kolaborasi SugarBomb menerusi lagu Da Bomb yang diadakan di ibu pejabat jenama tersebut di Klang pada Selasa.
Selain Sein, Ruffedge turut dianggotai oleh Azan Addin, Cat Farish, Zain Hamid dan Mode.
Malah menurut Azan Addin, dia berharap versi terbaharu lagu Da Bomb ini mendapat maklum balas yang baik daripada peminat seperti mana lagu asal yang diterbitkan pada tahun 2005.
“Projek ini merupakan kerjasama yang pasti akan menarik perhatian pengikut muzik tempatan. Kami yakin dengan gubahan lirik dan muzik video yang baharu, ia akan mengembalikan semula memori lagu tersebut,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video