HIBURAN
Ruben Onsu Gagal Tunai Haji: “Sebagai Mualaf Saya Menikmati Apa Yang Allah Beri”
Keputusan kerajaan Arab Saudi secara rasmi menghentikan pengeluaran visa khas Furada bagi musim haji 2025 telah menyebabkan beberapa selebriti Indonesia gagal melunaskan hasrat menunaikan haji.
Antara selebriti Indonesia yang terpaksa membatalkan impian tunai haji termasuklah hos dan usahawan terkenal yang baru memeluk Islam, Ruben Onsu.
Menerusi pengakuannya dalam siaran langsung di Tik Tok, Ruben mengatakan gagal naik haji kerana visa furada yang dibatalkan pihak Arab Saudi diumumkan kurang seminggu sebelum kemuncak ibadah wukuf di Arafah yang dijadualkan berlangsung pada 5 Jun ini.
“Saya sepatutnya sudah berangkat menunaikan haji namun kerana isu visa Furada (batal). Saya sebagai saudara baharu (mualaf) dan masih belajar menikmati sahaja apa yang Allah beri,” katanya seperti dilaporkan CNNIndonesia.
Ruben sebelum ini mengumumkan telah memeluk Islam pada Aidilfitri lalu.
Selain Ruben, ramai dalam kalangan selebriti republik tersebut juga gagal menunaikan haji kerana mendaftar visa furada. Mereka termasuklah pasangan suami isteri Wendi Cagur dan Kimberly Ryder dan Teuku Wisnu. Malah ribuan bakal jemaah dari negara tersebut juga gagal menunaikan haji.
Berbeza dengan kuota haji biasa atau haji khas yang diuruskan oleh Kementerian Agama Indonesia, Haji Furada ialah visa jemputan khas daripada kerajaan Arab Saudi yang membolehkan pemohon menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran bertahun-tahun.
Must-Watch Video