HIBURAN
Ria Ricis Beri Anak Perempuan Makan Otak Lembu - "Ia Bagus Untuk Anak-Anak"
Personaliti media sosial terkenal Indonesia, Ria Ricis, mencuri perhatian ramai apabila memilih bahagian otak lembu daripada ibadah korban untuk diberikan kepada anak perempuannya, Cut Raifa Aramoana atau mesra disapa Moana.
Memetik laporan Grid ID, Ria menjelaskan bahawa otak lembu mempunyai nilai khasiat yang tinggi dan dipercayai bermanfaat untuk perkembangan kanak-kanak.
“Kalau di bahagian seekor lembu, saya suka otak kerana jika dimasak ia bagus untuk diberikan kepada anak-anak,” katanya.
Menurut Ria, dia turut mempunyai cara tersendiri untuk menyediakan masakan berasaskan otak lembu agar anaknya dapat menikmatinya dengan selera.
“Tapi kalau masak otak lembu, saya akan pastikan ia tidak berbau dan sedap untuk dimakan.
Saya memang mengutamakan makanan asli kepada Moana berbanding memberikan dia makanan tambahan seperti vitamin,” ujarnya lagi.
Pada sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini, Ria Ricis turut melaksanakan ibadah korban dengan menyumbangkan beberapa ekor kambing dan lembu. Ibadah tersebut dilangsungkan di Pesantren Maskanul Huffadz, Bintaro, Tangerang Selatan, Indonesia.
Menerusi beberapa rakaman yang dikongsikan, Ria kelihatan hadir menyaksikan sendiri upacara penyembelihan dan tidak dapat menahan air mata sewaktu momen penuh penghayatan itu berlangsung.
Sebagai rekod, Ria Ricis mendirikan rumah tangga dengan pelakon Teuku Ryan pada 12 November 2021. Namun, pasangan ini bercerai pada 3 Mei 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Cut Raifa Aramoana.
Must-Watch Video