HIBURAN
Rewang Eh Raya 2025 Tarik 10,000 Pengunjung, Angkat Warisan Melayu & Bugis Di Summit USJ!
Acara Rewang Eh Raya 2025 yang berlangsung di pusat beli-belah Summit USJ, Subang Jaya Sabtu lalu mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung, membuktikan bahawa warisan seni budaya Melayu dan Bugis masih kukuh berakar dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Bertemakan “Rumah Terbuka”, program anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia ini bukan sekadar menghidupkan kembali tradisi rewang dalam suasana Hari Raya, malah memperkenalkan kekayaan budaya Bugis Negeri Selangor kepada generasi muda melalui pendekatan interaktif dan mesra keluarga.
Seawal jam 9 pagi, suasana sudah gamat dengan gelak tawa kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna bertemakan “Eh, Warna-Warni Raya!” yang melibatkan penyertaan aktif daripada kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun.
Selain itu, Bengkel Santai Tarian Tradisional Zapin dan Ronggeng Selangor turut berlangsung dengan meriah, melibatkan lebih 300 peserta dari pelbagai peringkat umur yang berpeluang mendekati seni tari tradisional secara lebih santai dan menyeronokkan.
Majlis perasmian acara disempurnakan dengan penuh adat, dimulakan dengan simbolik pemotongan pulut kuning dan diiringi sorakan konfeti, menyerikan lagi suasana sambutan yang penuh warna-warni.
Penaung program, YM Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Al-Haj turut hadir memeriahkan acara bersama para tetamu kehormat lain, menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan seni budaya warisan bangsa.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Dalam ucapannya, Hishammuddin Zaizi turut menekankan kepentingan untuk memperkenalkan budaya tradisional sepanjang tahun, dan tidak hanya bergantung pada musim perayaan sahaja. Beliau menyeru agar usaha memperkasakan seni budaya ini diteruskan secara berterusan.
Menariknya, sebelum perasmian rasmi, para pengunjung turut disajikan dengan klip video pengenalan kepada gastronomi warisan Bugis, sekali gus memperkayakan lagi pengalaman budaya sepanjang program berlangsung.
Kumpulan Noraniza Idris Dance Academy (NIDA) berjaya mencuri perhatian pengunjung melalui persembahan memukau seperti Tarian Serampang Bugis, Tarian Jawa “Piye Kepriye” dan Tarian Ronggeng Selangor, yang merupakan hasil daripada bengkel tarian yang dijalankan pada sesi pagi.
Menurut ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia, Rewang Eh Raya 2025 menjadi platform penting dalam memupuk semangat komuniti menerusi seni budaya lebih-lebih bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“Apa yang kita lakukan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu usaha untuk membentuk sahsiah dan memperkasa identiti budaya dalam diri anak-anak kita.
“Syukur Alhamdulillah, dengan sokongan padu daripada pihak penaja seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tourism Selangor, Agensi Pekerjaan Najah, Che Ani Premium, Promedia Broadcast serta Summit USJ, kita berjaya merealisasikan sebuah acara budaya berskala besar yang mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya
Tambahnya, keterlibatan kanak-kanak dan golongan muda dalam aktiviti seperti pertandingan mewarna dan bengkel tarian tradisional adalah antara kejayaan terbesar program ini.
“Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja mengenali budaya mereka, malah berbangga dan berani mempertahankannya di masa hadapan.
lSaya percaya seni budaya tradisional bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu terus hidup dan dibudayakan sepanjang masa.
“Insya-Allah, kita akan terus komited mengangkat warisan bangsa ini ke persada yang lebih tinggi,” katanya penuh semangat.
Lebih membanggakan, lebih 6,000 peserta telah mendaftar lebih awal secara dalam talian untuk menyertai aktiviti yang disediakan, membuktikan bahawa seni tradisional masih mendapat tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.
Salah satu acara yang paling dinanti-nantikan dalam Rewang Eh Raya 2025 ialah Pertandingan Tarian Kreatif Eh Raya, yang melibatkan peserta dari lima negeri berentap untuk merebut hadiah utama bernilai sehingga RM3,000 bagi koreografi persembahan terbaik.
Must-Watch Video