VIRAL
Restoran Dikecam Beri Diskaun Kepada Pelanggan Kurus
Sebuah restoran di Thailand telah dikecam kerana didakwa mendiskriminasi individu gemuk dengan menawarkan diskaun kepada pelanggan berdasarkan tahap kekurusan mereka.
Restoran itu menawarkan potongan sehingga 20 peratus daripada bil pelanggan jika mereka berjaya melepasi ruang besi menegak yang sempit.
Menurut portal berita Thai, Thaiger, cabaran itu mempunyai lima tahap dengan setiap celah antara besi menjadi semakin sempit.
Pelanggan yang berjaya melepasi tahap yang lebih mudah boleh mendapat diskaun antara lima hingga 15 peratus.
Bagi pelanggan yang gagal melepasi mana-mana tahap tersebut, terdapat papan tanda yang berbunyi “harga penuh, maaf”.
Netizen pantas berkongsi pandangan mereka tentang promosi kontroversi itu selepas sebuah video oleh dua penulis blog pelancongan dari Britain menjadi tular di Instagram.
"Yang mana satu awak akan cuba lepas?" soal Amina, salah seorang penulis blog, dalam kapsyen klip tersebut yang kini telah mendapat lebih 58,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen.
“Lebih baik daripada tiada langsung,” kata seorang pelanggan yang kecewa selepas hanya berjaya mendapat diskaun 5 peratus, seperti yang dilihat dalam video tersebut.
Seorang pengguna Instagram bergurau: “Saya rasa saya kena caj tambahan!”
Seorang pengguna yang tidak berpuas hati berkata: “Sangat membimbangkan, budaya memperlekeh bentuk badan dan obses berat badan di Asia...”
Seorang lagi yang sependapat menambah: “Takkan saya nak rendahkan maruah diri semata-mata untuk itu. Takkan makan kat situ.”
Walaupun dikecam, restoran yang terkenal dengan sajian sarapan antarabangsa itu masih kekal dengan penarafan 4.3 bintang dan lebih 1,700 ulasan di Google.
Sebuah restoran lain di Jinan, Timur China, pernah melakukan promosi serupa pada tahun 2018.
Pemilik restoran tersebut, Zhao Lang menawarkan makanan dan minuman percuma kepada pelanggan yang berjaya melepasi ruang selebar 15cm di pintu masuk.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video