Laman Utama
Ramli MS Bangunkan Laman Web Konsert Resolusi Tinggi – “Negara Luar Dah Guna Teknologi Ni, Di Malaysia XPDC Artis Pertama…”
Maestro muzik, Datuk Ramli MS mengulas mengenai laman web konsert resolusi tinggi sinio.com yang dibangunkan bersama dua rakan kongsinya, Dr Ariffin Yahaya dan Har Kok Kit.
Ramli ketika dihubungi Gempak berkata, laman web tersebut membuka ruang buat penyanyi di negara ini untuk tampil dalam sebuah konsert secara virtual.
"Idea tercetus sejak dua tahun lalu dan kami sama-sama bangunkan laman web www.sinio.com ini. Saya fikir dalam situasi sekarang, teknologi ini sebagai salah satu pembangunan kepada selebriti kita.
“Laman web ini memberi peluang kepada semua artis untuk mengadakan konsert dan persembahan dengan diiringi pemuzik profesional dan ia boleh diakses oleh peminat di seluruh dunia dengan melayari laman web selepas membuat pembayaran (pay-per-view).
"Kelebihannya lagi ialah, para peminat boleh menonton konsert sama pada bila-bila masa kerana persembahan itu akan tersedia di dalam laman web tersebut. Ya, ia boleh ditonton sampai bila-bila dan di mana sahaja dengan kemampuan siaran resolusi 4K.
“Inilah masanya untuk mereka berhibur dalam siaran kualiti tinggi. Kita 'bawa' konsert itu di mana saja mereka berada.
“Iyalah dengan keadaan sekarang, ada yang masih belum berani keluar ke sana-sini. Rutin dan gaya hidup mulai berubah," katanya.
Dua rakan kongsi Ramli yang sama-sama membangunkan www.sinio.com Dr Ariffin Yahaya dan Har Kok Kit.
Ditanya mengenai perkembangan muzik terkini, Ramli percaya tekonologi berubah dan kita perlu mengikut arus demi kemajuan industri.
"Ia satu perkembangan. Jadi mahu tidak mahu kita kena ikut. Kalau tidak kita akan ketinggalan. Negara luar sudah pun perluaskan teknologi ini dan mereka sukses.
"Di Malaysia kita ada beratus artis yang saya percaya mereka semua idamkan konsert khas. Tapi belum diberi peluang atau diketengahkan. Penaja pula pasti mahu anjur konsert untuk artis yang mungkin pada mereka 'yang boleh jual' sahaja.
"Bayangkan lagu hits ada, tapi tidak dipersembahkan secara langsung. Saya ada juga bercakap mengenai teknologi baru kepada Datuk Awie, Senario dan beberapa artis lain. Setakat ini mereka ada menyatakan minat dan melihat ia sebagai suatu alternatif baru buat peminat mereka untuk menonton konsert.
"Sebab lain kerana saya melihat ada promoter yang tak berani nak ketengahkan ramai artis kita untuk melabur dalam sebuah konsert. Saya faham situasi itu, jadi kami cuba untuk beri mereka ruang.
"Macam contoh kalaulah seorang artis itu hanya ada dua lagu hits, mungkin mereka boleh bergabung dengan rakan artis lain dan sama-sama dalam satu konsert menerusi sinio.com.
"Cuma kami akan buat kepada penyanyi yang betul-betul ada lagu yang 'boom'. Bukan suka-suka sebab peminat nak tonton persembahan yang boleh 'sing along'. Kalau hanya nak syok sendiri saya tak akan buat," katanya lagi.
Menurut Ramil lagi, Sinio bakal membawakan konsert sulung bersama XPDC yang sepatutnya dijadualkan berlangsung 12 Mac lalu, bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan kerana faktor kesihatan vokalisnya, Ali.
"Sebelum ini kami sudah pun membuat beberapa percubaan dan selepas semuanya berjalan dengan baik, XPDC ialah artis pertama yang menggunakan teknologi ini.
"Semuanya sudah pun siap untuk dipancarkan (live), apa pun saya mendoakan yang terbaik buat Ali. Sebarang perubahan akan kami maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Must-Watch Video