Ramai Keliru Status Nine Phyne Ballerz, Dedah Sudah Bercerai Dengan 2 Isteri
Ketika hubungan akrab dengan penyanyi Elliza Razak hangat diperkatakan, timbul tanda tanya tentang status bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz iaitu Nine.
Tidak mahu lagi berahsia mengenai status diri, Nine atau Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri, 43, mendedahkan dia seorang duda.
Jelas Nine yang berpoligami, dia bercerai dengan isteri pertama pada 2017 manakala jodohnya dengan isteri kedua terlerai tiga tahun lalu.
“Tahun 2017 bercerai dengan isteri pertama manakala isteri kedua pula pada 2022,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Jelas Nine, dia tidak pernah menghebahkan mengenai perkara itu kerana enggan ia menjadi bahan bualan di media sosial.
Bagaimanapun dia sedar perlu menjelaskan situasi sebenar agar tidak timbul sebarang fitnah terhadap dirinya dan dua bekas isterinya.
“Saya tak dedahkan status saya sebab tak mahu cerita penceraian saya ini menjadi bualan orang di media social.
"Tapi apabila banyak andaian tidak betul, saya rasa lebih baik saya beritahu agar tidak timbul sebarang fitnah,” jelasnya.
Ditanya mengenai punca perpisahan, Nine enggan membuka aib mana-mana pihak apatah lagi hubungan dengan kedua-dua bekas isterinya dalam keadaan baik.
Kata Nine lagi, apa yang berlaku dalam rumah tangganya biarlah menjadi rahsia dan enggan mengungkit kisah lama.
Malah Nine sendiri mengakui terhutang budi dan berterima kasih kepada dua bekas isterinya kerana sanggup berkorban demi membesarkan anak-anak mereka.
“Cukuplah sekadar saya beritahu yang kami berpisah secara baik dan tiada apa-apa isu berbangkit.
“Kedua-dua bekas isteri pun tiada masalah sesama mereka sehingga ke hari ini.
"Malah saya terhutang budi sebab mereka banyak membantu ketika saya dalam kesusahan untuk memberi nafkah kepada anak-anak.
"Tapi keutamaan kami semua sama iaitu mahu berikan terbaik buat anak-anak walaupun ibu bapa mereka ini sudah tidak bersama," ujarnya.
Untuk rekod, Nine berkahwin dengan isteri pertama pada tahun 2008 sebelum bercerai pada 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Mior Emir Aziz, 16, dan Mior Emir Elyyas, 13 tahun.
Nine juga sempat berpoligami sebelum bercerai apabila mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua pada 2016 sebelum berpisah tiga tahun lalu.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mior Zayyad Zhafran yang kini berusia 7 tahun.
Sumber: Mstar