HIBURAN
“Ramai Kecam Saya Sebab Berat Bertambah & Nampak Berisi” - Alya Iman
Pelakon Alya Iman mendedahkan menerima kecaman daripada warganet susulan penampilannya yang semakin berisi ketika ini.
Pengarah tegur makin gemuk
Pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil itu turut menerima teguran daripada pengarah terhadap bentuk tubuhnya itu.
Sehubungan dengan itu, Alyan enggan melayan atau ambil peduli perkara yang boleh memberi tekanan dalam dirinya.
"Tahun ini ramai yang kecam saya sebab berat badan saya bertambah dan saya nampak berisi. Malah saya turut ditegur pengarah yang perasan saya semakin gemuk.
"Sebagai artis, saya sedar saya kena jaga penampilan kerana kita umpama satu karya seni yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat. Tapi pada masa sama, saya selalu cakap yang saya juga manusia biasa.
"Saya kena jaga kesihatan mental saya terlebih dahulu barulah saya jaga yang lain," katanya kepada Gempak.
Alya ditemui pada majlis ramah mesra dan berbuka puasa Stars Powerhouse Entertainment di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Berat badan lebih sasaran
Dalam pada itu, Alya mengakui berat badannya kini mencecah angka 66 kilogram (kg) iaitu melebihi sasarannya iaitu bawah 60 kg.
"Tahun lepas saya tidak seperti diri saya sendiri akibat mengalami tekanan dan kemurungan. Keadaan ini berlaku disebabkan kawan baik saya meninggal dunia.
"Saya juga tak mahu keluar rumah dan tak keluar bekerja selama lima bulan. Justeru tahun ini saya nak jenamakan semula diri ini dan hanya nak gembirakan diri sahaja.
"Kalau sebelum ini saya akan ambil berat jika ada perkara negatif berlaku pada diri sendiri dan orang sekeliling, tapi tahun ini saya akan buat tak tahu dan tak akan masuk campur sebab tak mahu serabutkan fikiran," jelasnya lagi.
Pernah amal diet ekstrim
Anak kepada pelakon senior, Allahyarham Azmil Mustapha itu turut mengakui dia kini lebih menghargai diri sendiri dan kehidupan selepas berdepan pelbagai cabaran dalam hidup.
"Mungkin kedengaran seperti pentingkan diri sendiri, namun pada pada pertengahan usia 20-an ini, saya mula belajar untuk lebih menyayangi diri sendiri.
"Dulu saya mungkin kurang matang. Bila ada yang tegur saya semakin gemuk, saya akan berasa hati dan mula amalkan diet ekstrim.
"Memanglah berjaya kuruskan badan tapi benda kalau dipaksa memang tak seronok. Sekarang ini saya lebih mendengar apa yang tubuh saya mahukan," ujarnya lagi.
Must-Watch Video