HIBURAN
Rakan Dedah Syuk Sahar Sanggup Kerja Lebih Masa, Cari Nafkah Untuk Keluarga - “Kami Nampak Kesusahan Dia…”
Kecoh mengenai kontroversi rumah tangga melibatkan pelawak Shuk Sahar selepas bekas isterinya Fara Salleh tampil mendakwa dirinya bersikap culas nafkah dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Terbaharu, anggota podcast Lepak Bapak iaitu Feroz dan Li tampil berkongsi pandangan mereka berhubung kes tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, Feroz mendedahkan bahawa mereka menjadi saksi yang melihat usaha Shuk untuk mencari rezeki hingga ke larut malam.
“Ia bermula sebelum Ramadan, kami ramai-ramai ke Kuala Lumpur jumpa Shuk di sana kemudian isu antara dia dan isteri berlaku. Motif kami ke Kuala Lumpur untuk mencari pembekal bagi perniagaan kami di bazar
“Shuk pula ada beberapa bisnes yang dia jalankan, walaupun isu itu sedang berlaku tetapi dia sibuk ke sana sini.
“Apa yang kami nampak, walaupun dia artis tapi dia tetap uruskan perniagaan. Dekat bazar sampai pukul 2 3 pagi jual minyak wangi untuk cari rezeki.
Menurut Feroz, pelawak tersebut juga telah bekerja lebih masa untuk menyara keluarganya.
“Di luar bulan Ramadan pula, dia sanggup kerja lebih masa nak simpan duit untuk trip ke umrah, Eropah dan untuk pembedahan Fara.
“Kami nampak kesusahan dia, dia gunakan masa dia sampai lewat malam. malah kadang kala dia terus balik ke Pulau Pinang.
“Tak ramai nampak kesusahan, usaha, tanggungjawab dan kejujuran dia dalam berniaga. Kami bangga ada kawan seperti dia sebab dia bukanlah duduk relaks sahaja.
Dalam masa yang sama, Li juga memaklumkan bahawa pihaknya tidak berniat untuk masuk campur hal rumah tangga Shuk, namun hanya meluahkan pendapat mereka mengenai kes tersebut.
“Kami senyap sebab sekarang adalah waktu yang tepat untuk kami beri kenyataan. Kami tak masuk campur hal rumah tangga cuma kami beritahu apa yang kami nampak.
“Ini nasihat untuk semua, kalau berlaku sebarang isu jangan terus kaitkan nama orang lain sebab ini adalah masalah individu.
“Apa-apa pun kami tetap bersama dengan Shuk,” katanya.
Dalam pada itu, Shuk atau nama lengkapnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar dilihat turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut.
Kata Shuk, dia bersyukur kerana pihak Lepak Bapak berani untuk berkongsi mengenai pandangan mereka terhadap dirinya.
“Terima kasih Lepak Bapak, bukan sebab back up aku tapi sebab buat aku rasa ada keluarga di Singapura.
Maaf kalau hal aku buatkan awak semua terpalit cerita yang tak baik. Semoga Allah balas kebaikan awak semua dengan kebaikan,” katanya.
Terdahulu, Fara berkongsi rakaman video mendakwa dirinya yang diceraikan Shuk dengan talak satu menerusi panggilan telefon melalui aplikasi WhatsApp.
Shuk didakwa telah melakukan lafaz penceraian itu bersama sebuah agensi perkahwinan di Thailand.
Sekadar info, Shuk Sahar mendirikan rumah tangga dengan Fara Salleh pada November 2023.
Must-Watch Video