Laman Utama
Power! Upin & Ipin Tayang di Netflix UK Dan Australia
Program animasi popular, Upin & Ipin mencetak satu lagi sejarah dan sekaligus membanggakan Malaysia apabila Netflix di United Kingdom (UK) dan Australia meletakkan kisah si kembar ini sebagai antara kandungan yang ditawarkan kepada pelanggan, sejak 7 April lalu.
Langkah perkhidmatan televisyen (TV) penstriman terkemuka itu menawarkan animasi Upin & Ipin sebagai salah satu produk yang boleh ditonton dilihat sebagai sebuah pengiktirafan terahadap karya syarikat produksi Les' Copaque Production Sdn Bhd ini setanding dengan karya dunia.
Netflix UK dan Australia memilih menyiarkan siri Upin & Ipin musim kelima sehingga kelapan selain musim 11 dan 12.
Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Karya Budi Mohd Aris, 39, berkata, tawaran Netflix UK dan Australia itu cukup membanggakan mereka.
"Kami bangga apabila Netflix UK dan Australia mahu menayangkan karya kami di platform mereka. Secara tidak langsung, ini membuktikan kualiti kandungan kami dan petunjuk bahawa karya kami mencapai standard antarabangsa.
"Pada masa sama, ini menunjukkan penceritaan yang dipaparkan dalam Upin & Ipin boleh diterima pakai di mana-mana sahaja.
"Ini bererti kandungan kami bagus untuk dibawa ke luar negara. Biarpun Upin & Ipin adalah buatan Malaysia, ia boleh diterima di seluruh dunia," katanya seperti dilaporkan BH Online.
Sementara itu, musim ke-14 Upin & Ipin sebanyak 42 episod sedang diitayangkan di saluran Astro Prima sejak kelmarin.
"Sebelum ini, pengikut tempatan siri animasi itu hanya boleh menonton episod musim itu di saluran YouTube selepas ia disiarkan di stesen televisyen (TV) Indonesia, MNC TV.
"Namun, sekarang, penonton tempatan sudah boleh menonton di Astro.
"Sebenarnya, musim 14 Upin & Ipin sudah habis ditayangkan di Indonesia. Sekarang kami sedang menghasilkan musim ke-15," katanya.
Musim 14 animasi ini ditayangkan di Astro Prima setiap Isnin hingga Khamis pada jam 7.30 malam dan diulang pada Sabtu dan Ahad pada jam 7 malam.
Must-Watch Video