HIBURAN
“Pihak Mahkamah Arahkan Kami Lakukan Pembelaan Dalam Masa Tujuh Hari” - Peguam Siti Jamumall
Peguam yang mewakili Siti Suriani atau Siti Jamumall, Mohamad Zaid Abdul Aziz memaklumkan mahkamah telah memberikan masa tujuh hari untuk melakukan pembelaan pada sebutan kedua kes perceraian Aiman dan Siti Jamumall.
Sebutan kedua
Menurut peguam Zaid atau nama sebenarnya, Mohamad Zaid Abdul Aziz sebutan kali kedua kes berkenaan ditetapkan pada 7 Ogos ini dan berkemungkinan mahkamah akan terus memulakan perbicaraan pada tarikh tersebut.“Tarikh 7 Ogos itu, sebutan kali kedua dan kemungkinan hakim akan terus kepada perbicaraan, keterangan daripada pihak plaintif dan defendan,” katanya kepada Gempak.“Pihak mahkamah mengarahkan kami melakukan pembelaan dalam masa tujuh hari dan kes ini akan mulakan perbicaraan pada 7 Ogos.
Siti Jamumall dan suaminya hadir bagi prosiding pertama kes perceraian mereka di Mahkamah Syariah Shah Alam pada Isnin.
Perlu jelaskan beberapa fakta penting
Pada masa sama, Zaid berkata dia yang mewakili pihak defendan perlu menjelaskan beberapa fakta penting kepada mahkamah susulan timbul kekeliruan berhubung jumlah lafaz talak yang berlaku.“Daripada pihak plaintif itu, ada cerita daripada pihak mereka manakala daripada pihak defendan, ada ceritanya. Tapi, kita tahu bahawasanya lafaz-lafaz itu memang di dalam tontonan umum yang kita tonton secara langsung (di TikTok).“Pagi ini, pihak kami (pihak defendan) mohon kepada mahkamah yang mulia ini untuk masukkan satu pembelaan kerana dalam kes yang disebutkan, ada beberapa fakta benar, yang perlu kami jelaskan.
“Tapi, mahkamah kena tahu kejadian sebelum, semasa dan selepas lafaz itu dibuat. Sebab itulah pemeriksaan fakta ini penting untuk mahkamah putuskan.
“Sebab menjadi tanda tanya kepada mahkamah, apabila kita melihat lafaz itu, lafaz talak dua. Adakah boleh jatuh terus talak tiga, ataupun apa yang hasrat Aiman, maksud Aiman untuk lafazkan talak itu,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Kes Cerai Siti Jamumall & Aiman Tak Kesah Ditangguh - “Kalau Mahkamah Kata Jatuh Talak 2, Mungkin Boleh Rujuk”
ARTIKEL BERKAITAN:Hadir Ke Mahkamah Bagi Proses Cerai, Aiman Tak Kesah Tenang & Siti Jamumall Pula ‘Nervous’ - “Kita Berserah Saja”
Peguam Zaid juga turut menjelaskan isu utama yang menjadi persoalan mahkamah ketika ini ialah sama ada lafaz talak yang dibuat yang disifatkan sebagai talak dua boleh dianggap terus jatuh sebagai talak tiga serta maksud sebenar Aiman semasa melafazkannya.“Jadi pihak kami hanya memasukkan pembelaan bagi menerangkan keadaan yang benar-benar berlaku ketika sesi siaran langsung itu.
“Bila kita tengok secara umum, anda akan tengok lafaz talak itu sahajalah, tetapi di belakang, ada berapa kejadian, kenapa wujudnya lafaz? Itu pihak mahkamah kena tahulah,”jelasnya.
Terdahulu, siaran langsung TikTok usahawan Siti Jamumall mencuri perhatian ramai apabila suaminya, Aiman Tak Kesah melafazkan cerai talak dua di hadapan keluarga Siti serta ribuan penonton yang sedang menonton siaran tersebut secara langsung.
Sekadar info, Siti dan Aiman berkahwin di Satun Thailand pada awal Jun 2024. Sebelum ini, Siti pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Syafiq pada 2019 namun bercerai tiga tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3 tahun.
Must-Watch Video