BERITA
Pengarah Filem 'Re-seat' SPM, Dapat Skor 12A - "Saya Buat Bukan Untuk Baiki Keputusan Tapi ..."
Lelaki berusia 55 tahun, Subash Abdullah masih gigih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat keputusan yang cemerlang.
Subash, yang pertama kali menduduki SPM pada tahun 1987 berjaya memperoleh 12 A untuk tahun 2024 termasuk dalam mata pelajaran matematik tambahan, fizik, kimia, biologi dan pendidikan Islam.
Malah, pelajar straight A ini telah menduduki peperiksaan tersebut setiap tahun sejak lima tahun lalu bukan untuk memburu gred, tetapi untuk mencetuskan kesedaran.
Bekas pengarah filem yang kini menjadi tutor pelajar sekolah menengah ini mahu membuktikan subjek sains bukan hanya untuk pelajar pintar sahaja tetapi mahu mengubah trend kemerosotan minat terhadap aliran sains.
Dia berharap kaedah pembelajarannya yang praktikal dapat menggalakkan lebih ramai pelajar terutamanya dari latar belakang kurang berkemampuan untuk tidak takut menduduki SPM dan meneruskan pengajian dalam bidang sains.
"Saya tidak buat ini untuk memperbaiki keputusan saya.
"Saya lakukannya kerana saya ingin memahami kenapa ramai pelajar mengelak daripada memilih aliran sains. Saya risau. Rasanya seperti kita sedang kehilangan satu generasi saintis, doktor, dan jurutera.
"Saya mahu melihat sendiri adakah silibus terlalu susah? Adakah kaedah pengajaran tidak berkesan? Kenapa 8,000 pelajar memilih untuk langsung tidak menduduki SPM?” kata Subash kepada Malay Mail dalam satu temubual semalam.
Pengambil SPM berulang
Bagi kebanyakan orang, menduduki SPM sekali pun sudah mencabar tetapi bagi Subash, terdapat sebab peribadi yang mendalam di sebalik tindakan yang mungkin dianggap 'gila' oleh orang lain.
Membesar dalam kemiskinan di Batang Berjuntai (Bestari Jaya) sebagai anak bongsu daripada tujuh beradik, Subash menjual cucur udang, popiah dan bunga orkid dari rumah ke rumah untuk membantu keluarganya.
Sebagai satu-satunya pelajar berbangsa India di sebuah sekolah Cina, dia pernah dibuli dan pernah merayu kepada ibunya untuk berpindah ke sekolah kebangsaan seperti adik-beradiknya yang lain, namun tidak berjaya.
Akhirnya, dia tekad, belajar bahasa tersebut dan berjaya meraih penghormatan daripada guru dan rakan-rakannya.
"Oleh kerana saya boleh bercakap bahasa Cina, saya berjaya menjual kuih-muih dan ibu saya nampak potensi dalam diri saya. Dia kata saya patut jadi cikgu. Masa itu saya tak suka idea itu, saya nak jadi doktor dan menyelamatkan nyawa. Tapi sekarang saya faham kenapa dia percaya pada impian itu," ujar Subash yang kini menetap di Cheras Perdana.
Kini, Subash mengendalikan pusat tuisyen dan menjadi mentor kepada pelajar yang tercicir atau takut untuk gagal.
Malah, dia menduduki peperiksaan SPM bersama sebilangan pelajarnya untuk membuktikan ia boleh dilakukan.
Katanya, kejayaannya berpunca daripada pendekatan praktikal yang diambil.
"Saya beritahu pelajar saya yang saya juga duduk sekali dalam peperiksaan. Saya daftar sebagai calon persendirian seperti kamu. Saya akan bimbing kamu sepanjang jalan. Saya mahu jadi seseorang yang bukan sekadar mengajar, tapi menemani mereka melalui perjalanan ini," katanya.
Dengan melalui proses tersebut bersama-sama pelajarnya, dia bukan sahaja memahami corak soalan dan kandungan silibus, malah turut mendalami prosedur operasi standard, sistem pemarkahan dan banyak lagi.
"Contoh mudah, kebanyakan pelajar disuruh guna pen, tetapi tidak dibenarkan menggunakan pembetul cecair. Tulisan mereka jadi bersepah dan ruang jawapan terhad, yang boleh menjejaskan markah.
"Jadi saya uji sendiri guna pensel supaya mudah untuk padam kesalahan. Ini juga jimatkan ruang untuk mengira jawapan. Dengan pensel, saya berjaya dapat A+," katanya.
Pendidikan menyelamatkan mereka yang tiada apa-apa
Subash percaya bidang sains tidak seharusnya dianggap sebagai aliran elit yang hanya untuk pelajar cemerlang sahaja.
"Bukan soal bijak. Ia juga soal strategi, motivasi dan mencari kaedah yang betul. Pelajar perlukan galakan, bukan ketakutan akan kegagalan. Dan guru sepatutnya membekalkan alat bantu yang lebih baik untuk membantu mereka berjaya," katanya.
Subash berharap kisahnya dapat menyampaikan mesej kepada pelajar yang berasa putus asa.
"Pendidikan yang menyelamatkan saya ketika saya tidak punya apa-apa. Selepas ibu saya meninggal dunia, hanya pendidikan yang menjadi pegangan saya. Dan sekarang, saya mahu anak-anak ini melihat bahawa pendidikan masih peluang terbaik mereka bukan sekadar untuk terus hidup, tetapi untuk berjaya,” kongsinya.
Ketika ditanya mengapa beliau terus melakukan perkara ini tahun demi tahun, Subash berkata dia percaya masih banyak lagi yang boleh dicapai.
"Ada kalanya, saya berpeluang mengubah hala tuju hidup seseorang, dan saya amat bersyukur kepada ibu saya kerana nampak perkara ini dalam diri saya," katanya.
Sumber: Malay Mail
Must-Watch Video