Pempengaruh Didakwa Langgar Syarat Bekas Suami, Punca Cetus Pergaduhan - Polis
Hasrat seorang wanita yang juga pempengaruh untuk mengambil semula barangan peribadi di rumah bekas suaminya di Taman Melawati bertukar kecoh apabila berlaku pergelutan dengan isteri baharu lelaki terbabit pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, wanita berkenaan yang juga bekas isteri kepada seorang pempengaruh dikatakan melanggar syarat yang ditetapkan oleh bekas suaminya semasa kunjungan tersebut.
“Lelaki itu membenarkan bekas isterinya mengambil barangan miliknya di kediaman tersebut dengan syarat hanya berada di tingkat bawah rumah.
“Bagaimanapun, wanita berkenaan telah naik ke tingkat satu, menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergelutan antara dia dengan isteri baharu pempengaruh itu yang cuba menghalang tindakannya,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, kejadian berkenaan turut disaksikan oleh kakak ipar dan adik ipar pengadu.
“Akibat pergelutan itu, isteri baharu (pengadu) mengalami kecederaan ringan di bahagian muka,” ujarnya.
“Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis pada hari sama dan siasatan dijalankan terhadap laporan yang diterima,” katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan tiada sebarang rampasan dilakukan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian