BERITA
Pemandu Wanita Didakwa Cuba Bunuh Pelajar UiTM
Seorang pemandu wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Oktober tahun lepas.
Norizan Ismail, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Tinggi Terengganu pada Ahad.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 7.35 malam 9 Oktober 2024 di Jalan Pantai berhadapan universiti berkenaan, mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang maka dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun.
Dalam kejadian tersebut, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan yang ketika itu berusia 20 tahun cedera akibat dirempuh daripada belakang ketika menunggang motosikal bersama tiga lagi rakannya yang lain oleh tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV).
Insiden malang itu turut menyebabkan tiga rakannya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, maut di lokasi kejadian.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
Mahkamah menetapkan 20 Mei ini untuk serahan dokumen perbicaraan.
Pada 2 Mac lepas, Norizan turut tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 kanun sama kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Akmal, Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar.
Kes yang mendapat perhatian seluruh negara itu kembali bersambung setelah mahkamah sebelum ini memutuskan Norizan layak dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri yang diperoleh dari Hospital Permai, Johor.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video