Berita
Peluang Berjumpa Pereka Animasi Hello Kitty Lebih Dekat Sambil Belajar Lukis Watak Kartun Sendiri
Watak Hello Kitty memang cukup popular dalam kalangan kanak-kanak sehingga ia mencetuskan fenonema di seluruh dunia yang teruja mahu melihat lebih dekat kartun fiksyen Jepun itu beraksi depan mata.
Bagi peminat cilik, acara melibatkan watak ini memang suatu yang dinantikan. Hello Kitty adalah antara 400 watak comel ciptaan syarikat animasi, Sanrio sejak tahun 1960.
Buat peminat kartun ini, Hello Kitty akan berkunjung ke Malaysia menerusi Pameran Our Sanrio Times - Kuala Lumpur yang dijangka berlangsung di Dewan 5, Tingkat 5, Quill City Mall Kuala Lumpur dari 24 November ini hingga 6 Januari 2019.
Acara yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 9 malam dianjurkan Alata Events dan Macexpo ini menampilkan 13 zon bertemakan Sanrio yang membolehkan pengunjung melihat secara dekat dan merakam foto 100 daripada 400 watak comel berwarna-warni yang menawarkan pengalaman visual menakjubkan.
Sudah tentu, pameran terbesar seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara ini yang dianjurkan selama tujuh minggu menjadi acara yang ditunggu ramai kanak-kanak apatah lagi ia bersempena cuti sekolah, perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru.
Salah satu pameran utama yang bakal dipertontonkan adalah Sanrio Village yang menghimpunkan 100 watak keluarga Sanrio termasuk kereta api mainan Sanrio yang begitu nostalgia.
Lebih menarik, model kampung ini diinspirasikan dari Gift Gate di Gotanda, Tokyo yang dibuka pada tahun 1970.
Tidak ketinggalan, replika dompet syiling Hello Kitty iaitu barangan pertama ciptaan Sanrio yang dipamerkan buat julung kalinya di Malaysia.
Acara yang mendapat sokongan Sanrio di Hong Kong dan Jepun ini turut mempamerkan lebih 300 edisi terhad dan barangan Sanrio vintaj yang jarang ditemui.
Malah, barisan pereka Sanrio Japan akan berada di pameran ini untuk mencipta lakaran eksklusif 9 watak Sanrio terkenal.
Peminat Sanrio juga berpeluang belajar untuk melukis watak kegemaran menerusi tutorial secara satu persatu yang ditunjukkan pereka profesional ini dan ini memberi peluang pada pengunjung mencipta semula watak kegemaran masing-masing.
Peminat boleh membeli awal tiket ini dari 30 Oktober hingga 20 November ini pada harga RM25 manakala RM33 untuk warganegara Malaysia.
Tiket istimewa untuk orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas adalah RM20 (dari 21 November 2018 hingga 6 Januari 2019) manakala RM60 dikenakan untuk bukan warganegara Malaysia.
Tiket boleh didapati menerusi www.ticketcharge.com.my atau di talian +603 9222 8811. Untuk maklumat lanjut, layari www.oursanriotimes.my atau www.facebook.com/oursanriotimes/ atau Instagram, oursanriotimes.malaysia.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Must-Watch Video