VIRAL
Pelawat Dilarang Selfie Dengan Jenazah Pope Francis
Mendiang Pope Francis saat ini sedang menerima kunjungan ratusan ribu pengikut Katolik yang memberi penghormatan terakhir buatnya di St Basilica Peter sebelum mayatnya dikebumikan dalam upacara rasmi hari ini.
Mengikut laporan vaticannews.va, Ketua Gereja Katolik itu menerima sekitar 250,000 kunjungan dari seluruh dunia sejak jenazahnya diletakkan di St Basilica Peter bermula Rabu lalu.
Namun kesemua pengunjung yang hadir dilarang mengambil selfie bersama keranda yang mengisi Pope Francis. Malah mereka yang hadir diminta menyimpan telefon bimbit mereka mendekati keranda.
Kini keranda Pope Francis yang sebelumnya dibiarkan terbuka telah ditutup sebelum mendiang yang meninggal dunia pada usia 88 tahun dikebumikan.
Pope Francis sebelum ini dilaporkan meninggal dunia di kediamannya selepas mengalami strok dan kegagalan jantung yang tidak dapat dipulihkan.
Sementara itu, Vatican turut mendedahkan, wasiat rohani beliau - satu pernyataan yang menyatakan hasrat untuk disemadikan di Basilika St Mary Major di Rom dan bukannya di Basilika St Peter seperti lazimnya Pope terdahulu.
Menerusi teks bertarikh 29 Jun 2022 itu, Pope Francis menulis: “Tatkala saya merasakan senja kehidupan dunia semakin hampir dan dengan pengharapan teguh terhadap kehidupan abadi, saya ingin menetapkan hanya hasrat terakhir saya berkenaan tempat persemadian saya.”
Mendiang turut menyatakan keinginan untuk dikebumikan “di dalam tanah, tanpa hiasan istimewa” namun dengan ukiran nama kepausannya dalam bahasa Latin: Franciscus.
“Semoga Tuhan membalas jasa semua yang telah menyayangi dan terus mendoakan saya,” tambah Pope Francis dalam wasiat itu.
Must-Watch Video