Pelajar Tahfiz Dakwa Diliwat Dalam Bilik Air
Seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun berdepan detik hitam selepas dipercayai diliwat oleh anak kepada kakitangan pusat pengajian di sini.
Kejadian yang berlaku pada tahun lalu itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada rakannya.
Difahamkan, rakan mangsa telah menceritakan kepada ibunya sebelum wanita terbabit memaklumkan kepada bapa pelajar tahfiz berkenaan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada Ahad lepas.
Katanya, bapa mangsa berusia 39 tahun mendakwa kejadian berlaku pada April tahun lalu apabila mangsa dipercayai diliwat oleh anak kakitangan pusat tahfiz berkenaan di dalam bilik air.
“Suspek juga dikatakan melakukan perbuatan lain yang tidak senonoh terhadap mangsa.
“Akibat kejadian terbabit, mangsa kini mengalami trauma di atas perkara yang berlaku,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, mangsa tidak menceritakan kejadian yang berlaku kepada bapanya kerana bimbang dimarahi.
Tegasnya, bertindak atas maklumat, suspek lelaki berusia 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.