HIBURAN
Paranormal Dan Rivera Meninggal Dunia Secara Misteri Dalam Tour Bersama Patung Annabelle
Dan Rivera, penyiasat paranormal terkenal dunia dan penerbit 28 Days Haunted dilaporkan meninggal dunia secara misteri pada usia 54 tahun.
Khabar tersebut mengejutkan penggemar kerana Rivera sedang dalam siri jelajah Devil on the Run bersama patung berhantu paling ikonik, Annabelle, lapor Yahoo!.Laporan Evening Sun mendedahkan pasukan keselamatan telah dipanggil ke sebuah hotel di Gettysburg, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada 13 Julai untuk memberi bantuan. Namun tidak dapat dipastikan sebab Rivera meninggal dunia.
Rivera merupakan ketua penyiasat paranormal untuk New England Society for Psychic Research (NESPR), organisasi yang diasaskan oleh Ed dan Lorraine Warren yang memberi inspirasi kepada filem The Conjuring.
“Dengan sangat berat hati kami mengumumkan Dan Rivera sudah tiada. Rivera telah berkongsi pengalaman dan memberi banyak panduan tentang dunia paranormal. Kegigihan dan kebaikannya telah menyentuh hati banyak pihak,” tulis kenyataan NESPR mengenai kematian Rivera.
Sebelum kematiannya, Rivera telah membuat tiket jelajah Devil on the Run habis terjual untuk tiga hari. Patung Annabelle dibawa keluar daripada Muzium Warrens’ Occult untuk mengikuti pameran tersebut.
Annabella merupakan patung hantu legenda yang telah menjadi inspirasi filem Annabelle (2014), Annabelle: Creation (2017) dan Annabelle Comes Home (2019) pernah dikaitkan dengan beberapa insiden tragik di seluruh England, menurut Warrens.
Menerusi kenyataan organisasi dalam talian, kisah seram di sebalik Annabelle tercetus pada tahun 1968 apabila seorang pelajar perubatan memberi patung tersebut sebagai hadiah.
Must-Watch Video