Sukan
Paralimpik Paris 2024: Datuk Latif Romly Bawa Pulang Pingat Perak
Hasrat untuk melihat atlet olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk terus 'terbang tinggi' mempertahankan pingat emas dalam saingan lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila dia hanya memperoleh perak sebentar tadi.
BERITA TRENDING: Sama Cantik Sama Padan! Alhamdulillah, Latif Romly Kini Bergelar Suami
Selepas mengungguli sejak lompatan kedua dengan catatan 7.45 meter (m) Latif terpaksa akur dengan kehebatan atlet Rusia, Matvei Iakushev yang memintasnya pada percubaan terakhir di Stade de France.
Iakushev menghalang Latif daripada melakukan emas hatrik Paralimpik apabila melakukan lompatan 7.51m pada percubaan keenamnya, tatkala atlet kelahiran Perlis itu menyaksikan peluang terakhirnya batal.
Kegagalan Latif itu menyaksikan dia tidak mampu menghadiahkan emas ketiga kontinjen negara di Paris dan memadamkan sasaran empat emas tatkala hanya berbaki satu sahaja saingan petang ini melalui atlet powerlifting, Jong Yee Khie.
Gangsa dalam acara berkenaan pula disambar oleh atlet Colombia, Jhon Obando yang melakukan catatan 7.38m.
Latif yang memenangi dua emas berturut-turut pada edisi Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 mengakui bahawa Iakushev yang bertanding di bawah bendera Atlet Paralimpik Neutral adalah pencabar utamanya selepas catatan peribadi terbaik musim ini memihak kepada wakil Rusia itu 7.41m, manakala dia pula hanya melakukan 7.30m (Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe).
Biarpun tidak dapat membawa pulang pingat emas pada edisi kali ini, namun rekod dunia 7.64m yang dilakukan Latif ketika muncul juara di Sukan Para Asia Jakarta-Palembang 2018 masih kekal menjadi miliknya.
Selain itu, 7.45m yang dilakukan sebentar tadi adalah menyamai catatan ketika dia memenangi emas di Tokyo 2020.
Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung lebih awal, atlet powerlifting negara Nicodemus Manggoi Moses sekadar menamatkan acara lelaki 97 kilogram (kg) di tangga ketujuh dalam kalangan sembilan peserta.
Atlet berusia 31 tahun hanya berjaya melakukan angkatan 210kg pada percubaan pertamanya sebelum dua percubaan seterusnya iaitu 220kg dibatalkan.
Pingat emas disambar atlet Jordan Abdelkareem Mohmmad Ahmad Khattab yang melakukan 270kg sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya sendiri iaitu 260kg pada kejohanan Piala Dunia 2024 di Tbilisi, Georgia, Jun lepas.
BERITA TRENDING: Latif Romly Terima Gelaran ‘Datuk’ Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan
BERITA TRENDING: “Macam Remy Ishak? Tak Kot, Saya Orang Biasa Jer...” - Latif Romly Mahu Dikenali Sebagai Atlet Sukan Paralimpik
BERITA TRENDING: Tempa Nama Di Persada Dunia, Latif Romly Terima Ganjaran RM150,000
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video