BERITA
Orang Bujang China Kini Cari Jodoh Menerusi Sesi Video Langsung
Dalam kesibukan kehidupan harian, golongan muda bujang di China kini memilih kaedah unik untuk mencari pasangan, menerusi sesi sembang video secara langsung yang bukan sahaja mempertemukan mereka, tetapi turut disaksikan ribuan penonton yang memberikan komen secara langsung.
Trend baharu itu mendapat perhatian ramai selepas seorang pemuda berusia 25 tahun, Steve Chen, menemui cinta pertamanya pada musim bunga 2024 menerusi sesi video langsung yang dikendalikan oleh ‘mak cik cari jodoh’ siber terkenal, Tian Xin.
Bosannya dengan kaedah temu janji tradisional dan aplikasi mencari jodoh, Chen menyertai satu sesi sembang maya di mana dia dan peserta lain diperkenalkan secara terbuka kepada ratusan penonton.
Menerusi platform media sosial China, Xiaohongshu (RedNote), Tian Xin mengacarakan program itu hampir setiap malam dengan lebih 130,000 pengikut setia.
"Empati adalah paling penting. Kita perlu betul-betul faham dan prihatin dengan apa yang orang lain luahkan," kata Tian yang bekerja di syarikat teknologi pada siang hari dan menjadi pengacara sesi jodoh pada waktu malam.
Dalam sesi sembang itu, sekitar lapan orang akan berada di hadapan kamera secara langsung, manakala selebihnya menunggu giliran sambil diiringi lagu cinta sebagai muzik latar, sekali gus mencipta suasana mesra walaupun masing-masing berada di lokasi berbeza.
Setiap peserta ditanya soalan seperti umur, pekerjaan, pendapatan, lokasi, hobi dan kriteria pasangan pilihan.
Ada juga yang diminta menunjukkan bakat - seorang guru pendidikan jasmani contohnya, membuka baju untuk menunjukkan bentuk badan ‘six-pack’ sehingga membuat penonton kagum dan terhibur.
“Adakah temu janji sekarang begitu sengit?” komen salah seorang penonton dengan emoji ketawa.
Bagi Chen, seorang pelatih perubatan yang sibuk, masa untuk bersosial sangat terhad.
"Tekanan kerja dan belajar sangat tinggi. Saya langsung tiada masa untuk bergaul atau mencari kenalan baharu," katanya.
Fenomena tersebut menjadi alternatif kepada kaedah tradisional seperti ‘pasar jodoh’ di taman-taman yang mana ibu bapa bertukar maklumat peribadi anak-anak mereka.
Ia juga menarik bagi mereka yang letih menggunakan aplikasi temu janji digital yang sering dianggap tidak tulen.
Menurut laporan agensi analisis data iiMedia Research (2025), lebih 30 peratus belia bujang menyatakan bahawa kerja berlebihan menyebabkan mereka sukar mencari pasangan.
Ramai pekerja di China bekerja 12 jam sehari, enam hari seminggu – menyebabkan trend ‘berbaring rata’ (orang muda yang memilih untuk kekal bujang) menjadi simbol penolakan terhadap tekanan sosial, termasuk keperluan berkahwin.
Namun, bagi mereka yang tetap ingin mendirikan rumah tangga, sesi video langsung ini membuka ruang perkenalan yang lebih santai dan menyeronokkan.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video