Laman Utama
"Orang Bercinta Pun Rindu, Apatah Lagi Anak..."- Adam Shahz
Pelakon Adam Shahz mengakui sudah tiga bulan tidak berjumpa mahupun berhubung dengan anak hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri, Fatin Afeefa iaitu Ivy Herra Sophia, 7 tahun.
Adam berkata sebagi bapa dia terlalu rindukan anaknya dan berharap dapat melihat anaknya membesar di depan mata.
"Orang bercinta pun rindu, apatah lagi, anak. Memang saya sangat rindukan anak, tetapi tak mengapa, kita tunggu keputusan mahkamah.
"Ini bukan harapan saya sahaja, tetapi juga bapa-bapa tunggal. Apabila berlaku perceraian, kita kena ingat walau apapun, itulah ibu dan bapa. Hubungan tidak akan putus sampailah mati, lebih lagi, hubungan anak perempuan dan bapanya.
"Saya tidaklah kata baik, tetapi kalau boleh, proses pembesaran anak dalam keadaan sihat," katanya kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai perkembangan perbicaraan berhubung kes hak penjagaan anaknya itu Adam berkata, mereka akan kembali ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 28 Februari ini.
"Kami menjalani perbicaraan pertama pada 28 Februari ini. Tempoh hari adalah majlis sulh di mana melihat sama ada kami perlu ke mahkamah atau tidak.
"Bila tidak mencapai kesepakatan, jadi diteruskan ke mahkamah bagi hak penjagaan atau hak lawatan anak.
"Sebelum ini, kami tidak pernah menetapkan hak penjagaan. Siapa lapang, boleh jaga anak," katanya lagi.
Terdahulu, perkahwinan Adam dan Fatin pada 2013 hanya mampu bertahan selama empat tahun, sebelum bercerai pada Mei 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Ivy Herra Sophia. Sebelum berkahwin dengan Adam, Fatin sudah memiliki cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian, 10.
Must-Watch Video