,
Berita

Op Global: Kronologi Kes GISBH Setakat 21 September

Gempak
22/09/2024
05:55 MYT
Hari ini polis melaksanakan Op Global yang menyaksikan serbuan terhadap 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban.
Susulan serbuan itu, seramai 402 penghuni rumah amal berkendan diselamatkan dan 171 individu berusia antara 17 hingga 64 tahun ditahan.
Berikut kronologi kes itu setakat hari ini:
16 Ogos
Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku dalam GISBH.
6 Sept
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang dikaitkan dengan GISBH yang memerlukan siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.
11 Sept
Polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama. Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media di Kuantan, Pahang, berhubung operasi pada awal pagi itu.
Beliau mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.
Baki 392 menjalani ujian saringan kesihatan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. GISBH mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan menyatakan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.
12 Sept
Proses dokumentasi kanak-kanak yang diselamatkan diteruskan di Pulapol Kuala Lumpur.
Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan di Seremban yang dikaitkan dengan GISBH. Tertuduh mengaku tidak bersalah.
13 Sept
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan sidang media kedua berhubung kes itu dan mendedahkan sejumlah 41 laporan polis berkaitan GISBH diterima sejak 2011 hingga September tahun ini.
Seramai 159 individu daripada 171 yang ditahan mendapat kebenaran reman, selebihnya di bawah umur tiada keperluan disiasat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal akidah, salah guna kuasa dan agama serta penderaan kanak-kanak perkara serius yang perlu ditangani segera.
14 Sept
Sidang media ketiga Ketua Polis Negara yang menyatakan serbuan terhadap 20 rumah amal melalui Op Global itu adalah hasil risikan dan siasatan polis selama enam bulan. Siasatan terhadap syarikat itu bagaimanapun telah dijalankan sejak 2011 dan polis telah bertemu dengan wakil PUKAS enam bulan lepas.
15 Sept
Polis mengesahkan 483 individu telah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, saksi, mangsa dan suspek.
Seramai 384 kanak-kanak dan remaja selesai menjalani saringan kesihatan dan hasil saringan itu mendapati terdapat ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan.
17 Sept
Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 96 akaun milik GISBH dibekukan, serta empat akaun ditutup melibatkan aset bernilai lebih RM581,000.
Keseluruhan 392 mangsa yang diselamatkan menerusi Op Global selesai jalani saringan kesihatan, elemen jenayah fizikal dan emosi dikesan.
Tiga kertas siasatan berhubung Op Global dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
18 Sept
Seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita pada 9 Sept lepas.
19 Sept
19 individu termasuk pengurusan tertingggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah, yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. Mereka mengaku tidak bersalah.
20 Sept
Tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH ditahan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang. Mereka termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad yang merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.
Seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
21 Sept
Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.
Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISBH diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISBH.
Di Kelantan, tiga buah rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISBH ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.
Sumber: Bernama
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Berita

Bakal Calon SPM Hadapi 63 Pertuduhan Amang Seksual, Pornografi Kanak-Kanak

gempak
18/11/2024
04:50 MYT
Bakal calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sebuah sekolah menengah di Sri Gading, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, hari ini, atas 63 pertuduhan amang seksual bukan fizikal termasuk memiliki video pornografi kanak-kanak.
Berita

Polis Kesan Individu Pukul OKU Di Dataran Shah Alam

gempak
16/11/2024
05:25 MYT
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memukul sehingga mencederakan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di Dataran Shah Alam 10 Nov lepas, yang tular baru-baru ini.
Berita

Anak Lapor Polis Selepas Simpan Mayat Ibu Dalam Peti Sejuk Beku Sejak 2021

gempak
12/11/2024
11:55 MYT
Menurut sumber, anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
Berita

Banyak Spekulasi Tidak Benar, Kami Serbu 5 Pagi - Polis Thailand

gempak
09/11/2024
18:55 MYT
Polis Sungai Golok mendakwa banyak spekulasi yang tidak benar berhubung tangkapan enam suspek rakyat Malaysia di sebuah hotel, Sungai Golok, Thailand baru-baru ini.
Berita

Ibu Hantar Anak Degil, Suka Melawan Ke Balai Polis

gempak
08/11/2024
18:55 MYT
Media tempatan melaporkan, Satrio Tomayahu,19, dihantar oleh ibunya Nunlawati Beu,42, ke balai polis Dungingi, Kabubaten Gorontola bagi memberi pengajaran kepada anaknya itu baru-baru ini.
Unitar